Pemain pasukan itu, Aniq Amran pula dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak.

Tempat kedua jatuh kepada pasukan Seratas daripada Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping manakala pasukan Asas daripada Persatuan Alumni Sekolah Sultan Alam Shah, tempat ketiga.

Pemain Terbaik kejohanan dinobatkan kepada Mohd. Hatta Ismail daripada pasukan Sajoha iaitu Persatuan Alumni Sekolah Sains Johor.

Pemain pasukan Asas, Muhammad Asyraf Mohd Ali dipilih sebagai penerima anugerah Penjaga Gol Terbaik dan tuan rumah iaitu Kelab Hoki Alumni Shah memenangi anugerah Fair Play.

Ketua Pengarah program tersebut, Mohd. Anuar Pauzi berkata, kejohanan berkenaan merupakan julung kalinya diadakan.

Berikutan sambutan menggalakkan, jelasnya, beliau berhasrat untuk mengembangkan kejohanan menjadi Liga Hoki Alumni SBP.

“Tujuan penganjuran adalah untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah melalui aktiviti sukan antara bekas pelajar SBP sekali gus mengembalikan nostalgia kepada mereka yang pernah bersaing dalam kejohanan Piala Perdana Menteri.

“Kita juga mahu memupuk semangat kesukanan selain menjaga kesihatan terutama bagi para belia yang kian sibuk dengan kerjaya masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, kejohanan selama sehari itu melibatkan lebih 300 bekas pelajar SBP berumur antara 18 hingga 50 tahun mewakili 12 pasukan.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Alumni Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Shah), Pekan, Pahang dan Tenaga Nasional Berhad.

Majlis penutup kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Presiden Kanan, Konfederasi Hoki Malaysia, Profesor Datuk S. Shamala.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Alumni Shah, Datuk Remie Arman Musa. - UTUSAN ONLINE