Kerana tertarik dengan kea­daan rumah yang terletak di bahagian tengah di hujung sekali, penulis bersama sukarelawan berkenaan membuat keputusan untuk singgah sekejap melawat penghuninya.

Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu, alangkah terkejutnya penulis melihat keadaan rumah kecil itu yang bukan sahaja kelihatan sangat daif malah tidak mempunyai sebarang bilik atau pembahagi ruang.

Satu ruang itulah yang digunakan sebagai ruang tamu, tempat tidur, bilik persalinan dan dapur. Penulis kurang pasti pula di mana bilik mandi dan tandas kerana tiada batang paip dan ruangan membuang najis. Mungkin dibuat terpisah dari rumah itu.

Seorang wanita yang duduk dari tadi di tengah-tengah tiang rumah itu kemudian mengensotkan badannya ke arah kami. Mungkin tidak mampu bangun berdiri dan berjalan, dia hanya bergerak dalam keadaan duduk.

Memperkenalkan diri sebagai Azizah Cali, 44, dia merupakan ibu tunggal yang mempunyai enam orang anak

Bercerita tentang dirinya, Azizah berkata dia tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya yang masih kecil sementara anak pertama, kedua dan ketiga bersekolah di asrama penuh.

“Anak sulung berusia 16 tahun, kedua (15 tahun) dan ketiga (13 tahun) tinggal di asrama penuh. Dua lagi bersekolah dekat sini (Sekolah Rendah Pos Tohoi) dan seorang lagi masih belum bersekolah,” katanya.

Sebelum ini dia dan anak-anaknya bergantung sepenuhnya dengan suaminya yang bekerja sebagai tukang kebun. Namun, sejak diceraikan suaminya pada 2013, dia mula mengambil alih tugas menjaga anak dan mencari rezeki dengan bekerja dekat sebuah ladang getah.

Azizah bagaimanapun hanya mampu bekerja selama setahun lebih sebelum dia dinasihatkan doktor supaya tidak melakukan sebarang pekerjaan kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Saya mempunyai masalah pernafasan yang menyebabkan saya selalu sesak nafas. Saya juga tidak mampu bergerak terlalu lama atau pergi ke lokasi yang jauh. Saya masih berjumpa doktor secara berkala dan makan ubat mengikut jadual.

“Sejak mengalami masalah kesihatan saya hanya duduk di rumah. Saya juga baru lepas menjalani pembedahan tiroid di Hospital Selayang pada Ogos lalu. Mujur pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ada membantu menampung kos pembedahan. Kalau tidak, memang tidak mampu,” katanya.

Azizah bukan sahaja hilang punca pendapatan malah tidak pernah mendengar khabar berita bekas suaminya.

“Hingga kini dia tidak pernah pulang ke kampung atau bertanyakan khabar tentang kami sekeluarga. Duit nafkah untuk anak-anak juga tidak pernah dikirim. Mujur keluarga mentua banyak membantu kami sekeluarga,” luahnya.

Disebabkan dengan keadaan kesihatannya makanan, pakaian dan keperluan harian dia dan anak-anaknya terpaksa bergantung kepada keluarga mentua yang diakuinya bukanlah keluarga senang.

Katanya, apa jua yang dimakan oleh keluarga mentuanya, itulah juga juadah yang dinikmatinya sekeluarga. Bahkan keluarga mentuanya turut membantu menampung kos pembinaan rumahnya sebanyak RM500 pada 2014.

“Ibu mentua dan adik-adik ipar tinggal di rumah sebelah banyak membantu kami sekeluarga.

“Selain membantu menghulur bantuan seperti makan dan minum, rumah kecil ini juga merupakan sumbangan mereka,” katanya.