Bagaimanapun, pada peringkat permulaan, mereka mencadangkan kepada kerajaan agar menyelesaikan terlebih dahulu pelbagai isu berbangkit melibatkan soal pertanian ini.

Seorang pesawah, Saifullah Abi Jamrah, 34, berkata, antara masalah yang dihadapi oleh pesawah selama ini seperti sistem perparitan, isu kualiti benih, padi angin dan sebagainya adalah perkara yang diperlu diberikan perhatian sebelum melakukan sesuatu benda baharu.

Katanya, para pesawah setiap tahun berhadapan dengan masalah tersebut sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Cadangan kerajaan untuk membantu petani ini memang baik, tetapi saya harap selesaikan dahulu masalah-masalah yang berbangkit. Jika masalah ini selesai, kerajaan pula melakukan sesuatu yang boleh membantu menambah pendapatan petani, Insya-Allah kehidupan golongan ini akan semakin baik.

“Sejauh mana pun kaedah moden yang cuba dilakukan terhadap pertanian ini, namun jika perkara asas seperti pengurusan sistem masih bermasalah, ia tidak akan ke mana. Jadi selesai dahulu, masalah-masalah asas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara langkahnya adalah meningkatkan kaedah pertanian moden selain memperkenalkan tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Kata beliau lagi, antara masalah dihadapi mereka ialah mempunyai keluasan sawah yang terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik dan tidak efisien dalam pengeluaran hasil pertanian.

Tambah Saifullah, keluasan sawah yang terlalu kecil bagi para petani sebenarnya bukan masalah utama jika hasilnya baik.

“Namun disebabkan masalah-masalah seperti padi angin, benih tidak berkualiti dan sebagainya menyebabkan hasil berkurangan. Selain itu, bantuan subsidi kepada petani adalah bagi menggalakkan petani tingkatkan usaha pengeluaran hasil daripada semasa ke semasa. Perkara itu, perlu dikekalkan,” katanya.

Pesawah, Fauzi Mustafa,35
Pesawah, Fauzi Mustafa,35 

Seorang lagi petani, Fauzi Mustafa,35, pula berharap agar kerajaan serius dalam membantu para petani dan bukannya hanya sekadar memberi cadangan tanpa pelaksanaan. - UTUSAN ONLINE