Seorang pesawah di Kampung Pida 3, Md. Nor Hamzah, 64, berkata, dia sudah lama mempraktikkan perkara itu dengan menanam pelbagai jenis buah-buahan untuk mempelbagaikan pendapatan.

“Selain mengusahakan tanaman padi, saya juga menanam nangka madu, pisang, mempelam, serai, limau kasturi, manggis dan dokong, sejak hampir 20 tahun lalu kerana kami dahulu berada dalam garis kemiskinan seperti yang disebut.

“Jadi, saranan Dr. Mahathir agar pesawah mengurangkan kebergantungan kepada pemberian subsidi boleh dilaksanakan sekiranya pesawah mengambil kesempatan untuk menceburi tanaman kontan seperti buah-buahan dan sayuran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi.

Perdana Menteri berkata, beberapa perkara turut dikenal pasti menyebabkan pesawah masih berada dalam garis kemiskinan seperti mempunyai sawah yang terlalu kecil dan tidak efisien.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Abd. Rahim Said, 53, pula berpendapat, cadangan tersebut amat baik namun pihak terlibat perlu mengkaji bagaimana cara pelaksanaan sekiranya pesawah tidak mempunyai tanah yang bersesuaian.

Katanya, tanah di sekitar kawasan rumah pula hanya boleh diusahakan pada skala kecil sahaja dan tidak sesuai untuk dikomersialkan secara besar-besaran.

“Kalau tanah bendang pula memang tak boleh digunakan untuk tanaman lain apatah lagi tanaman padi kini dilakukan dua kali setahun, jadi tidak sempat untuk sulam dengan tanaman lain jika ada yang bersesuaian.

“Bagi kaedah pertanian moden pula memang boleh dilaksanakan tetapi kosnya terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan mesin atau jentera,” katanya.

Justeru, Abd. Rahim berkata, cadangan tersebut hanya boleh direalisasikan sekiranya mereka diberi bimbingan yang betul termasuk menyediakan peluang pasaran tanaman kontan bagi meningkatkan pendapatan masing-masing. -UTUSAN ONLINE