Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mereka perlu mencari inisiatif, alternatif dan usaha yang baharu untuk menjayakan segala fungsi serta peranan masing-masing.

“Di permulaan tahun seperti ini, semua kepimpinan harus memberikan fokus dan tumpuan terhadap segala bentuk perancangan terbaik pengakap untuk 2019.

“Ia boleh dilaksanakan dengan memperkasakan setiap visi dan misi sedia ada,” titah baginda selepas berkenan menerima kunjungan mengadap oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri, Azmi Abdullah di Pejabat Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Jejawi di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri, Osman Omar dan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri, Mohd. Zaidi Bin Omar.

Dalam majlis tersebut, Azmi turut memaklumkan mengenai aktiviti pengakap negeri yang telah berjaya dijalankan sepanjang 2018.

Azmi turut berkongsi mengenai hasrat pengakap Perlis untuk menawarkan diri menjadi tuan rumah kem jambori Malaysia secara besar-besaran pada 2020.

Untuk rekod, ahli berdaftar pengakap negeri adalah kira-kira 4,500 orang.- UTUSAN ONLINE