Wakil penduduk, Devathevasigamoney David John, 63, berkata, pembatalan projek tersebut dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam menerusi kenyataannya dalam sebuah akhbar pada 9 Februari lalu.

Katanya, tindakan Sivasubramanian itu amat mengecewakan kerana ia jelas bertentangan dengan perjuangannya sebelum pilihan raya umum lalu yang lantang menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar mempercepatkan pemberian lot tanah kepada penduduk.

“Tapak RPT seluas 58 hektar di Mukim Sungai Terap ini telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2012 bagi penempatan semula penduduk setinggan di kawasan Buntong.

“Pada tahun 2017, seramai 397 daripada 586 penduduk telah ditemuduga semula dengan 133 penduduk dikenal pasti sebagai kumpulan pertama untuk menerima lot tanah di RPT tersebut.

“Bagaimanapun, kami terkejut apabila projek ini dibatalkan pada Februari lalu sedangkan Sivasubramaniam sendiri menjanjikan selepas Pakatan Harapan menang yang lot tanah itu adalah hadiah kepada penduduk sempena Deepavali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Khairul Shahril Amin di luar pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut Devathevasigamoney, pembatalan projek yang didakwa atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan itu telah diganti dengan tawaran rumah pangsa namun cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh penduduk.

Katanya, mereka juga berasa kesal apabila penjelasan yang diminta berhubung perkara itu dalam pertemuan Mei lalu bukan sahaja gagal memberi jawapan malah berakhir dengan ketegangan.

“Kami mahu lot rumah yang dijanjikan melalui surat tawaran yang diterima sebelum ini dan membantah sekerasnya pembatalan projek tersebut yang tidak mengambil kira kesengsaraan kami yang telah lama menduduki kawasan setinggan.

“Diharapkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dapat turun padang dan menyelidik apa sebenarnya yang berlaku dan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, isu berkenaan sememangnya berada dalam pengetahuan Ahmad Faizal yang telah mengarahkan kajian semula dilakukan dengan mengemukakan cadangan terbaik bagi masalah tersebut.

“Pengumuman lanjut mengenai isu ini dijangka akan diketahui dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.-UTUSAN ONLINE