Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, lelaki berusia 30-an itu ditahan anggota trafik untuk pemeriksaan pada hari terakhir Op Selamat 15.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik negeri, Superintenden Chuah Seong Lim berkata, dua saman dikeluarkan kepada pemandu lori pasir tersebut atas kesalahan tidak berpakaian kemas dan tayar lori botak.

“Lelaki itu didapati langsung tidak memakai kasut ketika memandu lori dan dia memberikan alasan kasutnya basah akibat melanggar lopak semasa menunggang motosikal untuk ke tempat kerja.

“Dia mendakwa terpaksa menanggalkan kasut kerana basah,” katanya ketika ditemui dalam operasi tersebut, di sini hari ini.

Seong Lim berkata, pihaknya memandang serius semua peraturan yang perlu dipatuhi pemandu kenderaan perdagangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Walau apa jua alasan yang diberikan, tindakan tetap diambil demi keselamatan semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, jumlah kemalangan maut yang dicatatkan sepanjang Op Selamat kali ini menurun apabila hanya 18 kes dicatatkan berbanding 30 kes dalam tempoh sama pada Op

Selamat 13 tahun lalu.

“Malah, hanya enam daripada 11 daerah di negeri ini mencatatkan kemalangan maut iaitu Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu, Kota Setar, Baling dan Pendang,” katanya. - UTUSAN ONLINE