Setelah berjuang selama bertahun-tahun dalam memperjuangkan tanah kediaman masing-masing, mereka akhir­nya akur apabila tetap perlu mengosongkan tanah tersebut berikutan dengan perintah mahkamah.

Pada masa ini, penduduk berkenaan masih lagi menghuni kampung itu setelah diberi

ISMADI ABU BAKAR
ISMADI ABU BAKAR 

kelonggaran untuk berbuat demikian selama dua tahun bermula 10 Oktober 2017 dengan sewa tanah dibayar kepada pemilik tanah oleh UDA Holdings Berhad (UDA).

Walau bagaimanapun, apa yang menjadi kerisauan penduduk ialah tempoh tersebut bakal tamat pada Oktober ini yang bermakna mereka tidak mempunyai pilihan selain berpindah ke rumah transit iaitu di Flat UDA di Tanjong Tokong hingga suatu tempoh yang masih belum diputuskan.

Menurut wakil penduduk Kampung Mutiara, Ismadi Abu Bakar, 56, penduduk akur de­ngan keputusan mahkamah itu namun jauh di sudut hati, mereka tetap mengharapkan untuk ditempatkan semula di kawasan Batu Feringghi.

“Sukar untuk kami mening­galkan Batu Feringghi, kami amat mengharapkan untuk kembali ditempatkan semula di sini dengan diberikan rumah ganti secara percuma,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Ismadi pada ming­gu lalu terdapat perbincangan antara Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Seri Ahmad Ismail bersama UDA, pemilik tanah dan wakil kerajaan negeri berhubung situasi terkini penduduk di situ.

ROSMAN ZAINAL
ROSMAN ZAINAL 

Katanya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penduduk begitu berat hati untuk meninggalkan Kampung Mutiara, antaranya seperti pengimarahan masjid, tempat mencari rezeki penduduk di kawasan Batu Feringgi dan sanak-saudara mereka juga ber­ada di sini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Mutiara, Rosman Zainal, 58, berkata, dia juga amat berat hati untuk meninggalkan Kampung Mutiara dan masih mengharapkan agar boleh kembali menetap di Batu Feringghi kelak.

“Kehidupan di sini sudah sebati dalam diri penduduk, memang sukar untuk mereka terutama warga emas untuk menyesuaikan diri di rumah transit nanti,” katanya.