Bazar jualan yang berlangsung di Kompleks Chempaka Perbadanan Putrajaya di sini sehingga esok, dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Mohd. Redzuan berkata, bazar itu julung kali dianjurkan oleh MED dengan kerjasama Angkasa dan agensi-agensi di bawah kementerian seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau berkata, konsep bazar itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui penubuhan pusat borong oleh Angkasa dan agensi-agensi di bawah MED dalam usaha kerajaan membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

“Ini satu usaha untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat. Ia lebih kepada inisiatif membuka peluang dan ruang kepada usahawan (pengeluar) untuk memasarkan produk serta barangan secara terus kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran bazar itu.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mohd. Redzuan berkata, pihknya telah mengarahkan Angkasa dan agensi-agensi di bawah MED untuk memperluaskan konsep bazar itu ke seluruh negara dalam usaha mewujudkan satu ekosistem yang dapat mengekang kenaikan kos sara hidup.

“Usaha ini dibuat bukan sahaja semasa musim perayaan tetapi diperluaskan melalui penubuhan pusat borong yang mampu bersaing dengan pengusaha atau pasar raya besar, ini sekali gus meningkatkan daya saing dan memberi tekanan kepada penurunan harga barangan, “ katanya.

Beliau berkata, pada masa depan pihaknya turut merancang menambah produk yang dijual di bazar itu seperti daging premium import untuk memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya di peringkat akhir berbincang dengan rakan strategik mengenai pembinaan kereta nasional ketiga dan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengumumkannya.

Mengenai kereta terbang, beliau berkata, pembinaan prototaip kereta itu dijangka siap akhir tahun ini.

“Kereta terbang InsyaAllah boleh siap hujung tahun ini, sama ada terbang atau tidak terpulang kepada undang-undang membenarkan atau tidak,” katanya. - UTUSAN ONLINE