Hal ini kerana setiap perbuatan, nilai dan norma yang bertentangan dengan kehidupan masyarakat yang menjadi amalan segelintir mat motor tidak mencerminkan keseluruhan perbuatan penggemar aktiviti bermotosikal.

Tidak dapat dinafikan terdapat banyak kumpulan individu bermotosikal yang sanggup mengorbankan masa cuti dan menggunakan sepenuh tenaga bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Meskipun sibuk dengan kehidupan masing-masing, mereka tetap berusaha mencari peluang dan meluangkan masa untuk berbakti kepada masyarakat.

Tidak mempunyai harta yang banyak, namun tanggungjawab terhadap orang lain terutama golongan yang sangat memerlukan kekal subur dalam diri mereka.

EX5 Nostalgia Machine Malaysia merupakan salah sebuah kumpulan bermotosikal yang bergiat aktif dan kerap ‘turun padang’ menghulurkan barang keperluan kepada golongan asnaf.

Menurut wakilnya, Mohd. Ariffin Ruslan, 33, matlamat penubuhan kumpulan itu bukan semata-mata melakukan aktiviti konvoi sahaja tetapi turut menyelitkan program amal sebagai pengisian yang penuh manfaat.

“Kami tidak mahu aktiviti yang dijalankan tertumpu kepada konvoi semata-mata yang hanya diakhiri dengan sebuah perjalanan ke sesuatu destinasi.

“Ia tidak sejajar dengan matlamat penubuhan kumpulan ini yang tertumpu ke arah pelaksanaan kerja-kerja kebajikan untuk membantu pelbagai lapisan masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan,” katanya kepada S2.

Tambah Mohd. Ariffin, pihaknya juga berusaha menarik minat dan menggalakkan ramai generasi muda bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan bagi memastikan mereka tidak terjerumus dalam masalah sosial dan aktiviti tidak sihat.

“Daripada mereka membuang masa melepak tidak tentu hala, baik mereka menghabiskan masa dengan aktiviti berfaedah. Kami secara terbuka mengalu-alukan sesiapa jua menyertai kumpulan kami. Sehingga kini, kami mempunyai 250 ahli dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Terdapat ahli kami daripada kalangan pelajar dan ramai juga yang telah mempunyai pekerjaan serta perniagaan. Selalunya, kami akan mewar-warkan tentang aktiviti amal yang diadakan dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Menurutnya, pada tahun ini, terdapat empat program bantuan telah dilaksanakan. Ini termasuk bantuan ahli-ahli lain yang turut berusaha mengumpul dana bagi disumbangkan ke rumah anak yatim, tahfiz dan fakir miskin.

Katanya, dana dikumpul hasil usaha ahli yang bukan sahaja memperolehi daripada sumbangan orang perseorangan, malah ada ahli menyumbang sebanyak 10 peratus daripada hasil perniagaan mereka untuk didermakan kepada asnaf.

“Ada ahli yang bekerja sebagai operator kilang menyumbang RM500 kerana prihatin dengan nasib orang yang lebih susah. Di sini, kita dapat lihat usaha kami juga mahu mendidik ahli agar menyumbang walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang kita boleh hulurkan bagi meringankan beban orang yang susah,”ujarnya.

Selain itu, katanya, mereka juga berjaya mendapatkan sumbangan, bukan sahaja daripada pelbagai bangsa dalam negara, malah ada rakan dari Thailand dan Indonesia turut sama menderma.

Tidak terlepas daripada tempias kecaman, Mohd. Ariffin mengakui pernah disindir sesetengah pihak yang mempersoalkan niat ikhlas kumpulan itu.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak pernah terkesan dengan kata-kata yang cuba memperlekehkan usaha murni tersebut.

“Memang ada pihak mempersoalkan mengapa kami perlu melakukan kerja-kerja kebajikan, sedangkan terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan dalam membantu golongan memerlukan.

“Bagi saya sesiapapun boleh berbakti kepada masyarakat. Selagi kami mampu untuk membantu mereka, kami akan terus membantu,” katanya.

Dalam pada itu, EX5 Nostalgia Machine Malaysia turut memperuntukkan 10 peratus daripada hasil jualan perniagaan yang dijalankan untuk disumbangkan kepada golongan asnaf.

“Sepuluh peratus daripada hasil jualan baju-t dan pelekat (sticker) akan diasingkan di dalam tabung yang akan dikumpul untuk disumbangkan kepada golongan asnaf. Selain itu, ada ahli menjual peralatan permotoran memperuntukkan sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan untuk mengisi tabung kebajikan.

“Kami juga menerima sumbangan daripada orang luar yang ikhlas menghulurkan bantuan dari segi kewangan atau barang keperluan seharian,” katanya.