Seorang penerima, Toh Bee Lian berkata, bantuan itu banyak membantu keluar­ganya berikutan mengalami masalah kesihatan sejak 10 tahun lalu.

“Saya menghadapi sedikit kesukaran dalam memberikan keselesaan lebih baik kepada keluarga apabila menghidap sakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu.

“Pendapatan bekerja di sebuah kilang yang tidak seberapa dan menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu selain menanggung ibu yang sudah uzur dan abang yang orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Program Back To School Tahun 2019 dan Penyerahan PMR Johor 2018 Di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chai, Bakri di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan; Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Johor, Datuk Baderul Sham Saad dan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Bakri merangkap Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Ee Chin Li.

Projek PMR ini merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat TNB dengan menyasarkan golongan bukan bumiputera yang memerlukan dan berpendapatan rendah.

Sebanyak dua buah rumah akan diperuntukkan bagi setiap negeri untuk dibaik pulih tahun ini dan sejak diperkenalkan pada 2013, sebanyak 151 rumah telah dibina semula atau dibaik pulih dengan peruntukan lebih RM4.2 juta di seluruh negara.

Bagi penerima kedua, Teng Poh Kue, dia turut menzahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada syarikat utiliti itu kerana dapat mendiami kediaman lebih selesa untuk keluargannya.

Menurutnya, ketika menerima perkhabaran gembira itu, dia masih di kebun dan bagaikan seperti mimpi apabila dimaklumkan terpilih dalam projek tersebut.

“Saya tinggal bersama, ibu, isteri dan tiga anak yang masih kecil. Rumah yang telah dibaik pulih ini ibarat hadiah Tahun Baharu Cina kepada kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, murid-murid dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan masing-masing menerima bantuan kelengkapan persekolahan bernilai RM200.

Seorang penerima, V. Perani, 50, merakamkan terima kasih kepada pihak TNB atas keprihatinan mereka memberikan sumbangan kepada anaknya, K. Sharanvel, 11.

“Pemberian TNB ini meringankan beban dan perbelanjaan persekolahan kerana kami mempunyai empat anak berumur 11, 13, 14 dan 16 tahun yang semuanya masih bersekolah,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima, Tan Shock Huang, 38, dari Taman Seri Bakri 3, terharu apabila dua anaknya, Elaine Ng Wen Xuan, 16, dan Ellis Ng Bin Xin, 14, menerima bantuan TNB itu.

Seorang lagi penerima, Hanizah Tahrim, 32, dari taman sama bersyukur anaknya, Adam Izham Mohd. Fadli, 10, memperoleh pakai baharu dan secara tidak langsung memberikan motivasi kepada anaknya.