Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya akan memastikan semua kaum minoriti termasuk Orang Asli menerima segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri sama ada dalam bidang kebajikan, kemudahan asas dan pendidikan.

“Perkara asas yang akan kita lakukan adalah kerajaan negeri harus beri perhatian kepada penduduk minoriti termasuk Orang Asli dalam bidang kebajikan, pendidikan dan kemudahan asas.

“Kalau kita tidak ambil berat terhadap golongan ini, mereka akan ketinggalan dan kerajaan negeri tidak mahu perkara seperti ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program pemimpin bersama rakyat anjuran Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka di Hotel Avillion Legacy di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Ginie Lim Siew Lin; Pengarah Bahagian Pembangunan Sosio Ekonomi Jakoa, Bakar Unus dan Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka, Haslin Abdul Razak.

Pada majlis itu, kira-kira 60 masyarakat Orang Asli termasuk ketua masyarakat, tok batin, jenang dan jekerah dari 14 buah kampung di daerah Alor Gajah dan Jasin hadir pada program sehari itu.

Menurut Adly, antara langkah yang diambil adalah memastikan Orang Asli tidak ketinggalan menerima bantuan termasuk urusan pewartaan hak milik tanah kepada komuniti tersebut.

Katanya, sudah pasti akan berlaku pertindihan dalam urusan pemilikan tanah melibatkan Orang Asli namun pihaknya akan berusaha memastikan golongan itu mendapat hak mereka dan diselesaikan dengan kaedah terbaik. - UTUSAN ONLINE