Suaminya, Mohammad Firdaus Norizan terpaksa menerima hakikat kehilangan kaki kanan sehingga pangkal paha selepas dirempuh kereta di Jalan Permatang Sungai Dua ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 13 Ogos lalu.

Menurut Siti Azizah, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya selama empat hari sebelum dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar dari hospital 20 Ogos lalu.

“Segalanya bagai mimpi buat saya kerana pada pagi hari kejadian, suami saya ceria ketika keluar dari rumah untuk ke tempat kerja di kawasan Perindustrian Perai sebelum saya terima panggilan dia terlibat kemalangan.

“Biarpun saya juga bekerja, namun beban terasa kerana suami pun sudah hilang upaya untuk berjalan sebab hilang sebelah kaki dan tangan kanannya juga patah teruk,” katanya yang bekerja di Bayan Lepas, di sini hari ini.

Katanya, dia kini buntu kerana suaminya hanya bekerja dengan gaji harian dan pendapatannya juga tidak seberapa untuk menampung keperluan rawatan se­perti ubat-ubatan dan lampin pakai buang.

Namun, katanya, dia beruntung kerana tinggal bersama keluarga suaminya di Kampung Pokok Sena di sini dan mampu membantu menguruskan suaminya.

Perkara itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang tampil menghulurkan bantuan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara.

Mohamad Yusoff berkata, beliau merujuk kes Mohammad Firdaus kepada Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso) yang menguruskan proses untuk mendapatkan pencen ilat dan faedah hilang upaya kekal.

“Sekarang dia hilang upaya dan tidak mampu bekerja, jadi saya rujuk kes ini kepada Perkeso dan JKM yang akan menguruskan faedah yang sesuai untuknya.

“Pada masa sama, saya dimaklumkan pihak Jawatankuasa Kariah Masjid juga menguruskan bantuan menerusi Zakat Pulau Pinang kepada Mohammad Firdaus,” katanya dalam program Ziarah Kasih di sekitar DUN itu.

Mohamad Yusoff yang juga Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor turut menziarahi pasa­ngan Harun Man yang menghidap alzheimer dan isterinya, Rahmah Awang yang tidak dapat berjalan di rumah mereka di Merbau Kudung.