Menurutnya, perkembangan terbaharu itu disifatkan sebagai ha­diah tahun baharu yang cukup bermakna untuk mereka sekeluarga.

“Saya gembira apabila mereka (kerajaan negeri) beritahu anak-anak saya akan ke sekolah semula. Terima kasih kerana sudi memberi perhatian kepada kisah keluarga kami.

“Isnin ini, Muhammad Ikmal Zulfika Madyusri dan Muhammad Aidilfitri Jamil yang masing-masing berada di tingkatan lima dan darjah lima akan mula bersekolah bersama seorang lagi anak jiran yang turut dibantu kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Aspalela, meskipun teruja untuk melihat anak-anaknya me­nyarung kembali pakaian sekolah, namun dia berasa ralat apabila abang Muhammad Aidilfitri yang sepatutnya berada di tingkatan lima pada tahun ini enggan untuk bersekolah lagi.

Katanya, Muhammad Shahril Firdaus memberitahu keputusan itu diambil setelah memikirkan yang dia hanya mempunyai tempoh setahun untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Anak saudara tidak mahu ke sekolah semula kerana dia segan disebabkan sudah lama berhenti sekolah. Dia cakap kalau awal lagi, dia akan te­rima. Saya sedih tetapi saya akan terus pujuk untuk dia ambil SPM.

“Muhammad Ikmal Zulfika pula memang mahu ke sekolah dan berhasrat untuk belajar di sekolah tahfiz,” katanya.

Tambahnya, besar harapannya untuk melihat semua anak-anaknya berjaya dan dia dapat merasai perasaan sama seperti ibu lain yang gembira meraikan kejayaan anak ma­sing-masing.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, kesempitan hidup yang dilalui Aspalela sekeluarga memaksa dua anak dan tiga anak saudara yang dipeliharanya sejak kecil berhenti sekolah sejak beberapa tahun lalu.