Beliau yang mengangkat sumpah memegang jawatan itu hari ini berkata, komitmen berkenaan adalah teras utama kepemimpinannya dan segala perancangan serta gerak kerja berpasukan akan disusun rapi bagi merealisasikannya.

“Perkara pertama yang saya mahu mantapkan ialah dari segi perkhidmatan perbandaran khususnya dalam soal pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kerana jika perkara ini gagal diterjemahkan sebaik mungkin ia mengecewakan rakyat.

“Pada masa yang sama, segala dasar terbaik yang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perkenalkan sebelum ini akan diteruskan dan sedikit sebanyak penambahbaikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah di sini hari ini.

Haris menggantikan Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad dan yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan serta Ahli-Ahli Majlis MBSA. -UTUSAN ONLINE