Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pada masa ini pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian pergaduhan yang berlaku antara pekerja R&R berkenaan dan pemandu bas.

“Syarikat berasa amat kesal dengan kejadian berkenaan dan ingin memaklumkan bahawa laporan polis berhubung insiden telah pun dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

“Sekiranya didapati bersalah, kakitangan penggerai berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib yang sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat,” katanya hari ini.

Hari ini tular video insiden pergaduhan yang berlaku pada pukul 1.30 pagi semalam antara kakitangan gerai Kawasan R&R Gambang arah timur dengan seorang pemandu bas ekspres.

Dalam pada itu, Anih berkata, segala tindakan yang dibuat kakitangan terbabit merupakan tingkah laku peribadi dan ia tidak menggambar atau melambangkan prinsip syarikat.

Tegasnya, syarikat itu juga tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa sahaja yang terlibat yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan pengunjung dan ketenteraman awam.

“Syarikat ingin memberi jaminan bahawa keselamatan pengguna dan ketenteraman awam adalah keutamaan kami,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE