Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, kaedah tersebut dilihat berkesan bagi membantu para petani meningkatkan pendapatan mereka tanpa perlu bergantung kepada subsidi.

“Dicadangkan agar harga padi ini dinaikkan kepada RM2,500 satu tan jika pemberian subsidi ini diberhentikan. Pada masa ini, harga bagi satu tan padi hanya RM1,500.

“Jika ia berjaya dilakukan, segala bentuk subsidi boleh diberhentikan. Langkah tersebut juga berkesan untuk para petani bersaing bagi meningkatkan hasil seterusnya mendapat pulangan yang baik.

“Subsidi yang diberi olah kerajaan lebih kurang RM3,000. Nilai tersebut bukan sepenuhnya dapat dinikmati oleh para petani memandangkan harga racun dan barangan pertanian lain mahal pada masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara langkahnya adalah meningkatkan kaedah pertanian moden selain memperkenalkan tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Kata beliau lagi, antara masalah dihadapi mereka adalah kerana mempunyai sawah yang berkeluasan kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik dan tidak efisien dalam pengeluaran hasil pertanian.

Mohd. Shazwan mengakui rata-rata petani khususnya pesawah terlalu bergantung kepada pemberian subsidi sehingga menyebabkan mereka tidak produktif untuk menambah pendapatan.

Dalam masa sama, beliau juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa para pesawah hanya bergantung kepada hasil tanaman padi tanpa mencuba tanaman lain.

“Pada masa ini, hanya segelintir sahaja petani mengamalkan tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi membantu menambahkan pendapatan mereka.

“Kalau hasil padi merundum akibat diserang penyakit atau padi angin, ia akan menyebabkan petani kerugian. Hal demikian kerana mereka terlalu bergantung kepada tanaman padi sahaja,” katanya.- UTUSAN ONLINE