Bagaimanapun penghidap bukanlah satu perkara memalukan kerana penyakit itu bukan diminta malah tidak bermakna individu yang disahkan sebagai pesakit perlu terlantar di katil hospital hingga akhir hayat mereka.

Jika mendapat rawatan yang betul, penghidapnya mampu menjadi bekas pesakit kanser dan meneruskan kehidupan normal seperti insan lain meskipun perlu berjumpa doktor sekali sekala untuk mendapatkan rawatan susulan.

Namun sudah pasti, golongan ini memerlukan sokongan orang di sekeliling terutama masyarakat untuk te­rus berjuang meneruskan kehidupan tanpa dibelenggu status pesakit kanser seumur hidupnya.

Nurul Nabihah Roslin, 18, secara luarannya tampak seperti remaja lain seusianya ditambah pula kepetahan mulutnya berceloteh pasti membuatkan sesiapa sahaja tidak percaya gadis ini pernah bertarung nyawa kerana penyakit kanser ovari, setahun lalu.

Gadis yang mesra dengan panggilan Biha itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka sakit keterlaluan pada bahagian perut yang dialami secara tiba-tiba pada Mei lalu adalah petanda terdapat ketumbuhan di ovarinya.

“Mulanya saya pergi ke hospital berhampiran rumah, saya dikatakan hanya mengalami gastrik. Apabila sakit itu tidak berkura­ngan, saya sekali lagi ke hospital dan disangka mengandung pula.

“Bagaimanapun disebabkan ayah bertegas supaya kes saya dirujuk ke doktor pakar, barulah saya tahu bahawa sakit keterlaluan pada bahagian perut itu kerana terdapatnya ketumbuhan di ovari.

“Doktor pakar kemudian mencadangkan saya menjalani pembedahan segera sebelum ketumbuhan tersebut disahkan kanser,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Malau, di sini baru-baru ini.

Menurut Biha, dia juga perlu menjalani rawatan kemoterapi yang panjang seperti pesakit kan­ser lain dan sudah pasti ada kesan sampingan seperti rambut, bulu mata malah keningnya luruh selain kulitnya turut menjadi lebih gelap.

“Saya bagaimanapun bernasib baik kerana mempunyai ahli keluarga dan rakan-rakan di Cancer Survivor Malaysia yang sering memberi kata-kata semangat untuk berjuang bagi meneruskan kehidupan seperti insan lain.

“Selepas menjalani kemoterapi, saya membuang perasaan malu berjumpa orang ramai disebabkan kesan sampingan rawatan tersebut. Malah, seminggu selepas lengkap menjalani rawatan kemoterapi baru-baru ini, saya terus mencari pekerjaan,” katanya.

Walaupun masih belum mempunyai rezeki mendapat pekerjaan, Biha memberitahu, dia tidak mahu menjadikan status pesakit kanser sebagai alasan buat diri­nya untuk berdiam diri di rumah sahaja.

Sementara itu, Muhammad Irfan Danial Mohd. Khir, 17, juga menjalani kehidupan aktif se­perti pelajar lain di sekolahnya meskipun dia sebenarnya adalah bekas pesakit kanser limfoma bukan hodgkin (NHL) hampir enam tahun lalu.

Menurut ibunya, Rozilawati Ahmad Rofain, 46, anak keduanya daripada lima beradik itu secara tiba-tiba memberitahu dia me­ngalami kesakitan pada bahagian perut selain terdapat benjolan.

“Saya kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Alor Setar dan apabila doktor ‘scan’ didapati ususnya melekat. Doktor cuba membetulkannya, tetapi gagal menyebabkan ususnya terpaksa dipotong sedikit.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap usus yang dipotong ber­kenaan, doktor mengesahkan anak saya mengalami kanser NHL. Sebagai ibu bapa, sudah tentu kami sedih mendengar anak yang baru berusia enam tahun menghidap kanser,” katanya.

Rozilawati memberitahu, dia dan suami kemudian membawa anaknya ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan namun disebabkan kos yang tinggi, mereka membawanya ke Hospital Pulau Pinang.

“Apabila kes anak saya dibawa ke sana, dia terus ditahan dan dimasukkan ke dalam wad untuk mendapatkan rawatan kemoterapi kerana kanser NHL adalah aktif. Bayangkan, kitaran pertama (ubat) kemoterapi itu memang kuat hingga berdarah mulut dan hidung.

“Namun disebabkan Muhammad Irfan Danial masih kecil, dia memang tidak tahu keadaan kesihatannya pada masa itu, Yang dia tahu, dia nak kena cucuk sahaja. Mujur dia tidak banyak ragam dan sebagai ibu bapa, kami hanya mengikut sahaja apa keputusan doktor bagi memastikan dia pulih dan sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Dia yang juga sukarelawan di Persatuan Sukarelawan Kanser Negeri Kedah berkata, secara keseluruhan anaknya itu perlu menjalani 24 kali rawatan kemoterapi dan berjaya selesai menjalaninya pada 2008.

“Alhamdulillah, anak saya kini sudah bebas daripada penyakit kanser NHL sejak lima tahun lalu dan kini aktif dengan pelbagai aktiviti di sekolahnya,” katanya.