Ruangan Rintihan Rakyat kali ini sedikit berbeza dengan memberi fokus tentang perbuatan vandalisme terhadap peti pembekal elektrik di Pelabuhan Klang di sini hingga menyebabkan ba­nyak jalan terpaksa bergelap.

Berdasarkan rekod, sebanyak 30 peti pembekal elektrik di kawasan berkenaan sudah menjadi mangsa curi serta perbuatan vandalisme dan masalah tersebut semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga meresahkan masyarakat.

Jurutera Elektrik Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Amzar Zubir ketika mendedahkan perkara itu berkata, peti pembekal tersebut menjadi sasaran kerana terletak di tepi jalan serta di simpang perumahan menyebabkan mudah dibuka dan diceroboh.

Jelasnya, kemudahan tersebut dijadikan sasaran kerana komponen-komponen di dalam peti pembekal tersebut me­ngandungi plat tembaga yang boleh dijual dengan harga yang tinggi kepada peniaga barangan lusuh dan kitar semula.

“Perbuatan mereka ini bukan sahaja mengancam nyawa tetapi lebih penting menyusahkan masyarakat kerana kos membaik pulih peti berkenaan lebih tinggi daripada menggantikan peti pembekal baharu yang menelan belanja kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 bagi setiap satu.

“Ini tidak termasuk komponen yang lain, sedangkan setiap satu peti elektrik ini pen­ting bagi menjana lebih satu kilometer tenaga elektrik untuk tiang lampu jalan dan lampu isyarat,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi vendalisme di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Menurut Amzar, bagi memastikan kejadian kecurian tidak berulang, pihak berkuasa juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan sebanyak RM2,000 bagi setiap peti bagi tujuan pemasangan pagar keselamatan.

“Belajarlah menghargai kemudahan awam kerana bukan sekadar soal kos pembaikan yang tinggi tetapi lebih pen­ting ialah isu keselamatan awam kerana jika tidak, lampu jalan serta lampu isyarat tidak berfungsi dan semua ini boleh mengundang kecelakaan pada bila-bila masa,” ujarnya.