Pelbagai bantuan seperti makanan, pakaian, dana baik pulih masjid dan sebagainya dihulurkan kepada kaum minoriti negara tersebut.

Hakikatnya bantuan itu bersifat sementara, sekadar memberi keselesaan dan kele­gaan dalam tempoh yang singkat.

MAZIIANA MOHD. AZHARI
MAZIIANA MOHD. AZHARI 

Komuniti tersebut sebalik­nya memerlukan ‘suntikan’ lain supaya dapat berdiri di kaki sendiri, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi mereka kepada tahap lebih baik.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Melayu Champa, Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam) mengambil inisiatif menubuhkan pusat vokasional di Kampung Trabaeng Chuk yang terletak di wilayah Thom.

Menurut Pengurus Projek Cambodia Care Al-I’tisam, Maziiana Mohd. Azhari, pihaknya telah menjalankan beberapa program vokasional untuk masyarakat Muslim Kemboja itu seperti kelas komputer dan bengkel jahitan.

Katanya, pelaksanaan kelas komputer telah memasuki tahun keempat dengan menumpang di sebuah sekolah di Kampung Trabaeng Chuk.

“Kelas ini beroperasi selama lima hari dengan dua sesi latihan melibatkan seramai 12 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun.

“Tempoh sesi latihan mengambil masa selama tiga bulan dengan pemantauan sukatan pelajaran daripada pihak pengurusan Al-I’tisam sendiri.

“Manakala tenaga pengajar pula dilantik dalam kalangan anak muda Kemboja yang mempunyai latar pendidikan berkaitan sistem perkomputeran,” katanya kepada Mega Rona.

Bengkel Jahitan pula beroperasi di Kampung Speu, wilayah Thom dengan menyewa sebuah rumah penduduk di situ.

Antara yang diajarkan dalam bengkel menggunakan tenaga pengajar tempatan itu ialah teknik jahitan baju Melayu serta jubah lelaki dan wanita.

Maziiana berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk membangunkan bangunan sendiri sebagai pusat bagi program-program vokasional tersebut.

Pembinaan pusat itu yang terletak di Kampung Trabaeng Chuk kini masih dalam fasa pertama iaitu di peringkat membaiki jalan masuk utama, menambak tapak bangunan dan membina jambatan.

Proses pembinaan fasa kedua dan seterusnya, katanya, mungkin agak perlahan kerana masih kekurangan dana.

“Apabila pusat ini siap kelak, kami akan menambah beberapa program latihan lain seperti pembuatan produk makanan halal serta pelancongan dan hospitaliti.

“Menjadi harapan kami agar pembinaan pusat vokasional ini dapat dibangunkan dengan segera, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak Muslim Kemboja mendapatkan pendidikan kemahiran secara formal.

“Sehubungan itu, kami berharap agar orang ramai terutama masyarakat Islam di negara ini dapat bersama-sama memberi sumbangan agar taraf hidup saudara kita di Kemboja dapat ditingkatkan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek pembangunan pusat vokasional tersebut, boleh hubungi Al-I’tisam menerusi aplikasi WhatsApp di talian +60162051880 atau layari Facebook Cambodia Care: Al-I’tisam Relief Program.