Pengurus Kanannya, Norashifah Salleh berkata, cawangan ketujuh itu akan difokuskan kepada kepada Perak Tengah selepas persempadanan semula kawasan-kawasan AIM di negeri ini, dibuat pada tahun ini.

Beliau berkata, ketika ini, AIM Wilayah Perak Selatan memiliki enam cawangan iaitu Ipoh, Kinta, Tanjung Malim, Tapah, Teluk Intan dan Manjung.

"Bajet dan rancangan penubuhan cawangan Seri Iskandar ini telah diluluskan, cuma kita menunggu pengisian kakitangan. 

"Kita sasarkan dapat menarik penyertaan Sahabat AIM di cawangan tersebut mencecah 2,100 orang dalam tempoh masa tiga tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kebajikan Sahabat AIM anjuran Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Ipoh (KuSAIIP) dan AIM Cawangan Ipoh di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tambun, Baddrul Halim Abdul Wahab dan turut dihadiri oleh Pengurus Cawangan AIM Ipoh, Rohana Yusof.

Pada majlis tersebut, sebanyak 51 Sahabat AIM yang ditimpa musibah kebakaran seperti kebakaran dan kematian ahli keluarga, menerima sumbangan bantuan kebajikan daripada KuSAIIP berjumlah keseluruhan RM12,800.

Sementara itu, Norashifah berkata, hampir RM130 juta dana diperuntukkan di Wilayah Perak Selatan bagi membantu Sahabat AIM menjalankan perniagaan pada tahun ini.

Selain itu katanya, pihaknya turut menyasarkan sejumlah 18,000 Sahabat AIM yang aktif menyimpan serta meminjam daripada organisasi berkenaan.

"Alhamdulillah, rekod bayaran balik Sahabat AIM sama ada di Wilayah Perak Selatan mahupun Wilayah Perak Utara, mencapai tahap 100 peratus," katanya. - UTUSAN ONLINE