Pelepasan para peserta disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnol Baharuddin.

Menurut Hasnol, sambutan menggalakkan daripada orang ramai membuktikan masyarakat kini mula sedar tentang pentingnya penjagaan kesihatan dalam kehidupan seharian.

“Tahniah kepada penganjur, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Politeknik Banting dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menganjurkan larian ini bagi menggalakkan budaya hidup sihat.

“Di samping berlari, kita semua boleh menderma bagi membantu rumah anak-anak yatim di daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan para peserta, di sini hari ini.

Free Smoker Banting Fun Run diadakan bagi membantu kempen bebas rokok dalam kalangan pelajar terutama di institusi pengajian tinggi.

Yuran yang dikenakan kepada setiap peserta juga akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan terpilih.

Konsep larian adalah lebih kepada riadah dan tiada pemenang tempat pertama atau kedua dan seterusnya manakala semua peserta diberikan baju T dan medal.

Selain larian, turut diadakan ialah cabutan bertuah, gerai jualan, pameran produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta pemeriksaan kesihatan percuma. - UTUSAN ONLINE