Pada 3 Mac 1967, kira-kira 1,500 orang yang mengisytiharkan diri mereka sebagai pencinta-pencinta bahasa tiba-tiba menjadi tidak waras, seolah-olah hilang pertimbangan lalu membakar akhbar Utusan Melayu di luar bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.

Detik-detik awal pembakaran akhbar jawi terulung negara itu berjaya dirakam secara dramatik oleh Jurugambar Utusan Melayu, Hussein Noor yang datang membuat liputan bersama

AKHBAR Mingguan Malaysia pada 5 Mac 1967 yang menyiarkan tajuk utama “Tindakan bakar Utusan dikesal”
AKHBAR Mingguan Malaysia pada 5 Mac 1967 yang menyiarkan tajuk utama “Tindakan bakar Utusan dikesal” . 

wartawan Taib Ahmad.

Akhbar Utusan Melayu keesokan harinya, pada 4 Mac 1967 melaporkan, perhimpunan ‘Keranda 152’ itu yang dihadiri lebih 1,500 orang pencinta-pencinta bahasa telah berarak membantah tindakan kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang di bawah Perkara 152 (soal Bahasa Melayu).

Perkara 152 mengenai soal bahasa Melayu ini memperuntukkan bahawa bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu) digunakan untuk maksud-maksud rasmi tetapi menambah bahawa “Yang Dipertuan Agong boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dilanjutkan untuk apa-apa maksud yang difikirkan patut”.

Sehubungan itu pencinta-pencinta bahasa yang terdiri daripada wakil badan-badan kebudayaan, persatuan-persatuan bahasa, parti-parti politik Melayu, peguam-peguam, pelajar-pelajar maktab dan orang perseorangan dari seluruh tanah air di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, me­nyuarakan bantahan secara terbuka kepada kerajaan dan Utusan Melayu yang dianggap sebagai pengampu.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Me­layu, Zainuddin Maidin, kemuncak Perhimpunan Keranda 152 itu ialah upacara membakar bergulung-gulung akhbar Utusan Melayu diadakan oleh beberapa orang pemuda di luar bangunan DBP sebagai tanda protes terhadap akhbar itu yang diejek sebagai ‘pengampu’ dan ‘pembodek’ Kerajaan Perikatan, pimpinan Tunku Abdul Rahman.

“Sambil membakar naskhah Utusan Melayu, pemuda-pemuda yang marah menyerupai Pengawal Merah Peking (Red Guards) telah menjerit-jerit: Utusan Melayu Pengampu! Lidah UMNO, Biarkan Bankrap dan Bakar Melan Abdullah, Pengarang Utusan Melayu!” tulis Zainuddin Maidin dalam bukunya Hari Itu Sudah Berlalu (2011).

Pada mulanya, mereka hendak membakar gambar Tunku yang hampir sedikit tercecah ke api tetapi mereka tidak jadi berbuat demikian setelah beberapa orang jawatankuasa Keranda 152 melarang perbuatan tersebut.

Pemuda-pemuda itu kemudian dengan tempik sorak telah mengambil bergulung-gulung naskhah Utusan Melayu lalu mencampakkan ke dalam api yang sedang marak.

Sedang api marak menjulang, tiba-tiba seorang pemuda yang kelihatan sudah berada di luar kawalan, telah mengheret jurugambar Utusan Melayu, Hussein Nor untuk dilontar ke dalam api.

Wartawan Utusan Melayu, Taib Ahmad yang menulis be­rita perhimpunan Keranda 152 pada hari kejadian, kebetulan berada berhampiran, segera meluru menghalang perbuatan pemuda tersebut. Hussein Noor kelihatan begitu cemas kerana tidak menyangka, beliau hendak dibakar bersama-sama dengan akhbar Utusan Melayu.

Pencinta-pencinta bahasa Melayu itu berbuat begitu ke­rana membantah sikap Utusan Melayu menyokong keputusan kerajaan untuk mengekalkan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini di samping bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Kerajaan Perikatan yang diketuai Tunku Abdul Rahman memikirkan bahawa dasar bahasa ini yang dibahaskan dalam Rang Undang-Undang di Parlimen, perlu diadakan setelah 10 tahun merdeka supaya dalam bidang tertentu, bahasa Inggeris boleh terus diguna pakai di samping kepentingan bahasa itu sebagai bahasa dunia.

“Pendirian Utusan Melayu menyokong dasar kerajaan itu mengejutkan orang Melayu terutama pencinta-pencinta bahasa kerana Utusan Melayu diketahui umum sebagai akhbar yang berada di barisan hadapan daripada sejak sebelum merdeka dalam mendukung perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara.

“Sikap Utusan Melayu itu te­lah menyebabkan ia dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa dan pengampu UMNO. Ketua Pengarangnya, Melan Abdullah mahu dibakar hidup-hidup dan berbagai lagi kecaman dilemparkan kepadanya. Kebangkitan semangat para pejuang bahasa telah disemarakkan lagi oleh sebuah sajak Usman Awang yang bertajuk Keranda 152” (Zainuddin Maidin 2011: 105-106).

Akhbar Mingguan Malaysia pada 5 Mac 1967 melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak mengecam keras perbuatan membakar akhbar Utusan Melayu dan hendak mencampakkan jurugambar Utusan Melayu ke dalam api oleh penentang-penentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan di DBP.

“Dalam satu interview de­ngan Mingguan Malaysia, Tun telah menyifatkan perbuatan mereka itu sebagai ‘sangat buruk dan tidak patut’ dilakukan oleh rakyat yang cintakan keamanan.

“Tun mengingatkan penentang-penentang Rang Undang-Undang Bahasa itu bahawa kalau mereka tidak bersetuju mereka boleh menjalankan langkah-langkah untuk menunjukkan bantahan mereka secara berperlembagaan. Tetapi apalah gunanya membakar itu dan membakar ini, tanya Tun” (Mingguan Malaysia 5 Mac 1967).