Disebut dalam ucapan tersebut, Tunku terharu dengan sokongan rakyat terhadap pemerintahannya yang menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah berlaku, baik titik gemilang mahupun titik hitam.

“Selama 13 tahun saya menjadi Perdana Menteri dan dua tahun sebagai Ketua Menteri adalah merupakan tahun-tahun yang gemilang, penuh muhibah dan persahabatan yang saya rasai di semua peringkat. Saya terharu dengan budi baik yang telah ditunjukkan oleh setiap orang kepada saya,” kata Tunku.

Tunku turut menyatakan rasa gembiranya memimpin Malaysia dan sepanjang tempoh itu, Tunku hanya berduka dengan satu peristiwa.

“Kecuali peristiwa 13 Mei, saya tidak ada sebab untuk berduka,” katanya.

Dalam buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas terbitan Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd. (2007), Tunku mengaitkan peristiwa 13 Mei dengan mimpi buruk yang diterimanya beberapa hari sebelum peristiwa hitam itu.

Ketika itu, Tunku bermimpi sedang melalui lorong yang sangat kotor, berlecak dan dipenuhi sampah sarap sebelum ternampak segerombolan tikus longkang besar keluar dari parit di sebelah kirinya. Ketika mengelak daripada melalui lorong yang penuh dengan tikus itu, Tunku ternampak pula sekumpulan lalat-lalat hijau berterbangan keluar dari parit sebelah kanan.

Tidak lama kemudian, pada pagi hari mengundi Pilihan Raya Umum 1969, tasbih yang digunakan Tunku untuk berzikir selepas solat subuh tersangkut di penjuru meja lalu terputus menyebabkan manik-maniknya bertaburan.

Menurutnya, selepas berlakunya peristiwa 13 Mei, baharulah Tunku sedar akan alamat yang diterima daripada mimpi dan kejadian manik tasbih bertaburan itu.

Kata Tunku, tikus-tikus itu merupakan komunis dan konco-konco mereka serta semua anasir jahat yang membawa kepada peristiwa berdarah tersebut. Komunis serta konco-konco mereka bertanggungjawab menganjurkan perarakan mayat pada 9 Mei 1969 dengan tujuan me­nimbulkan kekacauan sete­rusnya menggagalkan penganjuran Pilihan Raya Umum Ketiga (PRU-3).

Tiga hari kemudian, parti Gerakan dan DAP pula mengadakan perarakan ‘kemenangan’ yang mencetuskan provokasi dan membawa kepada peristiwa yang Tunku sifatkan sebagai kekacauan sehabis-habis buruk yang tidak pernah berlaku di Kuala Lumpur sebelum itu.

Sementara itu, lalat-lalat hijau yang berterbangan pula ditafsir sebagai orang yang cuba mengganggu kedudukan Tunku sebagai Presiden UMNO selepas peristiwa 13 Mei.

Tunku memberitahu, pada 25 Mei 1969, seorang lelaki yang menyamar sebagai sahabat lama baginda, Datuk Sayed Esa Almanoer telah menghubunginya. Lelaki itu memberitahu ada 20 ahli UMNO sedang bermesyuarat untuk menyingkirkan Tunku daripada Presiden UMNO. Walaupun tidak mahu percaya, Tunku terus diganggu dengan panggilan itu untuk beberapa hari.

Tidak lama selepas itu juga Tun Dr. Mahathir Mohamad menghantar surat mengkritik kepemimpinan Tunku sebelum menyebarkannya kepada orang ramai. Tunku menggelar perbuatan memburuk-burukkannya itu sebagai kempen benci terhadapnya dan ia berlanjutan agak lama. Kata Tunku, itulah lalat-lalat hijau yang terus mengekori dan berdesing-desing di telinga­nya.

Segala kejadian itu memberi kesimpulan kepada Tunku bahawa tasbih yang terburai daripada talinya ketika sembahyang subuh di pagi hari mengundi menandakan pecahnya keamanan dan keharmonian kaum di negara ini.

Peristiwa 13 Mei ternyata memberi kesan signifikan kepada kerjaya politik Tunku. Pada akhirnya, Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun jasanya dikenang seluruh rakyat sehingga ke hari ini sebagai Perdana Menteri yang membawa nikmat merdeka ke tanah bertuah ini.