Nasionalis kiri ini cuba mengambil kesempatan daripada ketiadaan British di Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan bersama Kesatuan Indonesia Raya yang sedang dirundingkan antara Ir. Sukarno dengan bantuan pihak Jepun.

Bachtiar Djamily yang menulis buku Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara (1985) menyatakan pada 27 Julai 1950, Kesatuan Malaya Merdeka (KMM) yang diketuai oleh Ibrahim Haji Yaakub telah mengeluarkan satu surat pekeliling dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris bagi memaklumkan kepada semua Putera Puteri Melayu di Luar Malaya bertujuan untuk mendapatkan kemerdekaan Malaya bersama Indonesia atau “Indonesia Raya”.

Surat yang ditandatangani oleh Ibrahim Haji Yaacob itu berbunyi: “Tujuan yang terakhir bagi perjuangan kita, ialah berdasarkan kebangsaan yang menuju kepada Kesatuan Indonesia Raya...” ((Bachtiar Jamily 1985: 91).

Ibrahim Haji Yaacob memaklumkan bahawa perjuangan Malaya Merdeka bersama ‘Kesatuan Indonesia Raya’ ini telah dimulakan sejak tumbuh­nya Kesatuan Melayu Muda (KMM) lima belas tahun yang lalu dan terus menerus diperjuangkan sejak di zaman pendudukan Tentera Jepun di Tanah Melayu.

Menurut Ibrahim Haji Yaacob, perjuangan Kesatuan Me­­layu Muda (KMM) beralih kepada Kesatuan Rakyat Malaysia Indonesia Semenanjung (KRIS) yang ditubuhkan bagi meneruskan cita-cita dan perjuangan ‘Malaya Merdeka’ bersama Kesatuan Indonesia Raya”.

Semasa Ir. Sukarno dan Dr. Muhammad Hatta terbang ke Saigon untuk merundingkan tentang kemerdekaan Indonesia dari tangan pemerintah Jepun, mereka berdua singgah di Singapura pada 8 Ogos 1945.

Ketibaan mereka disambut oleh pemimpin KMM dengan mengibarkan bendera ‘Sang Saka Merah Putih’ sebagai penyataan bahawa Tanah Melayu adalah sebahagian daripada Indonesia Raya.

Pada 13 Ogos 1945 ketika Ir. Sukarno dan Dr. Hatta balik dari Saigon mereka singgah di Tai­ping Perak untuk berunding dengan Ibrahim Haji Yaacob bagi menetapkan tarikh kemerdekaan Malaya bersama Kesatuan Indonesia Raya dipercepatkan pada 24 Ogos 1945.

Malangnya, akibat kekalahan Jepun kepada Tentera Berikat serta penyerahan diri tanpa syarat pada 15 Ogos 1945 akibat penguguran bom atom ke atas bandar Nagasaki dan Hiroshima, Ir. Sukarno secara tergesa-gesa mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945 tanpa memasukkan Tanah Melayu dan Kalimantan Utara.

Pengisytiharan kemerde­ka­an Indonesia itu me­nge­jutkan pemimpin-pe­mim­pin KMM yang baru sahaja menamatkan Kongres Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) di Kuala Lumpur pada hari tersebut. Malah, akhbar Utusan Melayu pada 18 Ogos 1945 membuat liputan meluas mengenai Sukarno tidak menepati janji-janjinya kerana ‘proklamir kemerdekaan Indonesia’ tanpa bersama Malaya.

Menurut Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka (1982), inilah satu detik sejarah yang amat malang bagi perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh KRIS dan Ibrahim Haji Yaacob berserta kawan-kawannya Datuk Onn, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ishak Haji Muhamad dan Ahmad Boestamam.

“Akibat dari peristiwa tidak diduga ini pemimpin-pe­mimpin KRIS merasa mereka tersepit di tengah-tengah api kemerdekaan dan ketibaan semula tentera Inggeris.

“Pada 18 Ogos 1945 itu, Ibrahim Haji Yaacob, Datuk Onn Jaafar dan Hassan Haji Ma­nan bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke selatan. Datuk Onn turun di Johor Bharu tetapi sejak dari tarikh itu Ibrahim Haji Yaacob tidak kelihatan di Ta­nah Melayu. Beliau melepaskan diri ke Indonesia sebaik-baik saja Inggeris datang semula ke Tanah Melayu”. (Abdul Samad Idris 1982: 321).

Antara rakan-rakannya yang terpaksa meninggalkan tanah air akibat gagalnya perjuangan kemerdekaan Malaya bersama Kesatuan Indonesia Raya termasuklah Hassan Haji Manan, Abdul Karim Rashid dan Onan Haji Siraj. Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) terpaksa disembunyikan di bawah kolong oleh rakan-rakannya di Melaka akibat diburu pihak British.

Biarpun penyatuan antara Malaya dan Kesatuan Indonesia Raya gagal menjadi kenyataan lantaran tindakan tergesa-gesa Sukarno seperti dihasratkan pemimpin KMM dan KRIS tetapi sekutu Indonesia di Tanah Melayu sentiasa berterusan untuk mempengaruhi pertubuhan mereka ke arah dasar yang disenangi oleh pihak berkuasa di Indonesia. Malah, pegawai Indonesia di Malaya mempunyai kumpulan perisikan sebagai tambahan kepada aktiviti mereka di negara ini.

ESOK: Utusan gagalkan Kempen ‘Ganyang Malaysia’