Belum pernah ada penggiat atau pertubuhan sepak takraw yang mampu melakukannya sehingga kejohanan ini sentiasa dinanti-nantikan para peminatnya setiap tahun lalu dinaikkan taraf bergelar Kejohanan Sepak Takraw Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM pada 1988.

‘Servis dan libasan’ dua gergasi korporat, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan akhbar Utusan Malaysia menerusi kejohanan ini telah mempopularkan malah memartabatkan sukan warisan tradisi Melayu ini sehingga menular ke Asia Timur, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

Negara-negara di luar rantau Asia Tenggara ini mulai berjinak-jinak dengan sepak takraw lantas menghantar regu masing-masing malah mendorong penganjur kejohanan, mewujudkan sebuah kategori khas buat mereka, Regu Jemputan Antarabangsa mulai 1987.

Melalui Kejohanan Sepak Takraw Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM 1988 juga, tercetus idea para pemimpin Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) untuk menubuhkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang akhirnya terlaksana pada 1992 di Bangkok, Thailand.

MUKA depan Utusan Malaysia keluaran 24 Ogos 1985 menceritakan sambutan luar biasa peminat terhadap p
MUKA depan Utusan Malaysia keluaran 24 Ogos 1985 menceritakan sambutan luar biasa peminat terhadap penganjuran Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia 1985. 

Kejohanan edisi sulung ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam manakala Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Dr. Sulaiman Daud menyempurnakan majlis penutupannya.

Dua kategori dipertandingkan, Regu Terbuka Antarabangsa dan Bawah 21 Tahun yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 manakala dua trofi yang direka khas buat kedua-dua regu juaranya menelan kos RM6,000.

Pengarang Sukan Utusan Malaysia ketika itu, Mustakim Aminuddin berkata, “Jepun dan Thailand terkenal dengan sumo dan tomoi (muay) dan tidak syak lagi, sepak takraw menjadi satu cabang budaya dan sukan Malaysia yang mampu dipopularkan menerusi Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia.”

Bekas pemain negara, Ku Halim Ku Musa mengimbas kenangannya beraksi dalam kejohanan itu, berkata, “populariti pemain-pemain sepak takraw ketika itu hampir setanding dengan bintang bola sepak. Penonton pula sampai melimpah keluar stadium hendak tengok aksi mereka.

“Saya mula bermain kejohanan ini dalam kategori Belia Kebangsaan dan Thailand seingat saya, sentiasa menghantar regu utamanya untuk menentang regu handalan kita,” kata pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991 serta Piala Raja Thailand 1988 ini.

Regu Malaysia A membariskan Azman Ismail (tekong), Raziman Hassan (apit kanan) dan Adnan Saidin (apit kiri) selain Fauzi Ayub (simpanan) menjuarai kategori Regu Terbuka Antarabangsa dan meraih RM5,000 selepas menumpaskan musuh tradisi, Thailand (Pakdee Dangwattanapaibul, Kriengkrai Mutalai dan Veeras Na Nongkhai) 17-15, 18-16.

Raziman yang bertindak sebagai perejam utama, dinobatkan Pemain Terbaik kejohanan. Tempat ketiga dimenangi Malaysia B dan keempat milik Singapura manakala Kedah menjuarai kategori Bawah 21 Tahun selepas menewaskan Wilayah Persekutuan.

Perlawanan akhir yang sengit pada 25 Ogos 1985 itu turut disaksikan berjuta-juta penonton di seluruh negara mahupun Singapura menerusi siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM). Menariknya RTM menyertai ‘regu penganjur’ lantas menjadikannya digelar, Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia-RTM, setahun kemudian.

Adnan, pakar libasan pari yang digeruni lawan turut mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa selepas Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia-RTM 1986 dan mendapat gelaran Raja Sepak Takraw Asia 1986 sebagai hadiah perpisahannya.