Virginia Matheson Hooker dalam buku Mencipta Masya­rakat Baru: Perubahan Sosial Menerusi Novel Melayu (2003) menyatakan Salina oleh A. Samad kini dianggap oleh pengkritik sastera sebagai no­vel Melayu pertama yang agak besar mengangkat darjat kesusasteraan Melayu ke suatu tahap yang disifatkan oleh sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.

Salina memenangi hadiah penghargaan dalam peraduan mengarang novel yang perta­ma anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1958.

Novel Salina karya A. Samad Said versi Bahasa Inggeris terbitan Institut Terjemahan dan Buku Negara
NOVEL Salina karya A. Samad Said versi Bahasa Inggeris terbitan Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN).

“Salina ialah novel Mela­yu pertama yang berlatarbela­kang­kan kawasan melarat di bandar. Tidak ada sebuah novel pun sebelum ini yang menghuraikan kemiskinan dan kemelaratan dengan begitu terperinci” (Virginia Matheson Hooker 2003: 322)

Menurut Hooker, kandu­ngan Salina yang memfokuskan kemiskinan, kemelaratan hidup dan pelacuran ternyata menimbulkan kebimbangan para hakim peraduan terhadap sambutan dan penerimaan orang ramai terhadapnya.

Para pengkritik yang kemudian juga mendakwa bahawa Salina memberikan kelainan dibandingkan dengan karya-karya cereka Melayu sebelum­nya (Virginia Matheson Hooker 2003).

Wacana Kemerdekaan

Hooker mengagumi cara A. Samad membentangkan persoalan masyarakat Melayu yang dibelenggu kemiskinan dalam usaha mencari iden­titi sendiri daripada sudut yang positif dan matang.

Menurutnya, tema masa dan keadaan yang mendasari Salina dan menggerakkan usaha watak utamanya dan watak-watak lain digambarkan juga dari sudut politik dalam teks tersebut.

Ketika Nahidah, Hilmy dan Salina berusaha untuk hari depan yang le­bih baik, Tanah Melayu sedang mempersiapkan dirinya untuk menghadapi kemerdekaan politik dan masa depan yang bebas daripada cengkaman penjajah zaman lampau.

“Kampung Kambing yang kemelaratannya digambarkan dengan begitu terperinci menuntut perubahan untuk penduduknya dan untuk negara keseluruhannya. Tuntutan itu diperkuat lagi dengan kemusnahan yang disebabkan kebakaran, yang kebetulan pula dengan politik bagi Singapura dan Tanah Melayu.

“Permulaan politik yang baharu ini yang dijanjikan oleh kemerdekaan dikaitkan dalam bahagian pertama bab terakhir dengan menyebut soal pembangunan berulang kali dan dengan keyakinan rakyat bahawa kini bakal wujud kebahagiaan hidup bagi penduduk Tanah Melayu” (Virginia Matheson Hooker 2003: 324).

Hal ini di­sebutkan dalam sepucuk surat yang dikirim oleh Salina kepada Hilmy: “Salina mahu ‘hidup bahagia, hendak memulakan hidup baru” (petikan novel Salina cetakan pertama 1961) .

“Bab terakhir Salina bergema dengan optimisme masa depan Hilmy dan seluruh negara. Kereta api yang ditumpangi oleh Hilmy pulang ke Singapura dan kehidupan barunya membayangkan perjalanan menuju masa hadapan” (Virginia Matheson Hooker 2003:325).

A. Samad Said dalam bukunya Dari Salina Ke Langit Petang: Proses Mencipta Novel (1979) menceritakan beliau menulis novel tersebut ketika itu baru bertugas di Utusan Melayu di Cecil Street Singapura pada 1958.

Menurutnya, Awam Il-Sarkam yang memperkenalkan kepada seorang penjual mesin taip dan beliau membeli mesin taip baharu jenama Smith Coroner (membayar secara ansuran) dengan gaji pertama (atau ke­dua) dari Utusan Me­layu semata-mata untuk menulis manuskrip no­vel Salina (A. Samad Said 1979: 51).

“Sambil belajar menaip inilah saya memulakan bab pertama novel Salina. Saya masih ingat lagi saya memulakannya di waktu Maghrib sesudah merasa begitu tenang. Saya gambarkan Kampung Kam­bing dan saya gambarkan pula Hilmy dengan ibunya pindah ke kampung tersebut.” (A. Samad Said 1979: 59).

Salina yang berlatarbelakangkan kota Singapura selepas Perang Dunia Kedua, memfokuskan kehidupan di Kampung Kambing sebagai latar dan wacana serta para wataknya Salina seorang pelacur berhati mulia yang menjadi perempuan simpanan Abdul Fakar, seorang kelasi kapal yang hidup berjiran dengan Hilmy, Nahidah, Razman, Khatijah dan Sunarto.

“Saya selalu berbincang lanjut tentang novel ini dengan A. S. Amin ketika kami minum kopi sarbat di Owen Road, betul-betul di hadapan sebuah hotel yang ‘laris’. Saya tunjukkan seorang wanita yang laris dan memberitahu A.S. Amin: Itulah jenis manusia yang ingin aku rakamkan. Seorang yang terpaksa menjual maruahnya kerana sesuatu desakan yang tidak akan kita tahu - kerana masing-masing menghadapi desakan yang berbeza” (A. Samad Said 1979).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan