Perpaduan dalam kepelbagaian itu turut dicerminkan dalam festival atau perayaan-perayaan kaum yang didasarkan kepada amalan agama atau adat resam mewakili kaum berkenaan.

Mereka berkongsi perayaan dengan kaum lain melalui amal­an ziarah-menziarahi atau menghadiri rumah terbuka.

Rumah terbuka menjadi rutin bagi masyarakat negara ini. Selain daripada rumah terbuka yang dianjurkan di peringkat kebangsaan, individu yang berkemampuan mengadakan rumah terbuka untuk meraikan rakan, sanak-saudara dan jiran.

Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri, rumah terbuka sudah tentunya dapat mengeratkan hubu­ngan dengan jiran di sekeliling rumah atau kawasan kediaman.

Sambil mengucap­kan Selamat Hari Raya dan bermaaf-maafan, mereka berkenalan an­tara satu sama lain.

Rumah terbuka juga dapat mengeratkan hubu­ngan antara kaum. Contohnya, di kawasan perumahan bandar dan pekan, penghuninya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India dan kaum lain.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Oktober 2008 memuatkan berita “Kemeriahan Aidilfitri” yang melaporkan acara rumah terbuka bukan sekadar merapatkan hubungan sesama Muslim tetapi bermanfaat untuk menghapuskan tanggapan buruk dan salah faham terhadap Islam.

Laporan itu memetik, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang juga bekas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap amalan itu akan diteruskan walaupun ada pihak berhasrat menghentikan acara tersebut berikutan tindakan memburuk-burukkan dan membahayakan penganjur rumah terbuka .

“Ia memberi gambaran yang cukup baik kepada ajaran agama Islam yang berdasarkan keamanan.

“Melalui rumah terbuka, pan­dangan buruk dalam kala­ngan bukan Islam yang tidak memahami agama ini akan dapat beransur-ansur dihapuskan,’’ katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perkim.

Bekas Perdana Menteri itu juga berharap melalui rumah terbuka, penganut agama lain tidak menganggap Islam itu sebagai agama ganjil atau seperti yang diperkatakan oleh sesete­ngah pihak kononnya Islam agama pengganas.

“Sedangkan Islam mengutamakan keamanan dan kita bersedia mendekatkan diri dengan bukan Islam,” ujarnya.

Beliau juga gembira amalan rumah terbuka yang dimulakan oleh orang Islam bagi me­rayakan Aidilfitri kini disambut dan diteruskan pula oleh pe­nganut agama lain ketika meraikan hari perayaan agama mereka.