Malah, kesengsaraan watak Lahuma dan Jeha di Banggul Derdap dalam novel itu disa­makan dengan watak Rukamani dan Nathan dalam ‘Niectar in a Sieve’ (1954) karya Kamala Markandaya.

Menurut buku Tanggapan Perbicaraan Karya-Karya Shahnon Ahmad (1986) yang diselenggarakan oleh Safian Hussain, Mohd Thani Ahmad dan Ahmad Kamal Abdullah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ranjau Sepanjang Jalan mendapat sanjungan sarjana antarabangsa seperti A. Teeuw, A. H. Johns, Harry Aveling, H.B. Jassin, Achdiat Karta Mihardja, Umar Junus, Edwin Thumboo dan David J. Banks apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul ‘No Harvest But A Thorn’.

Novel ini turut diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Swedish, Rusia, Belanda, Iceland dan Danish.

The Sydney Morning Herald, Australia (9 Disember 1972) menempatkan novel ini sebagai satu dari sepuluh no­vel yang memikat hati untuk tahun 1972.

Sarjana A. H. Johns dalam penelitiannya menyebut Ranjau Sepanjang Jalan menyerlahkan visi Shahnon - manusia dalam alam yang tidak ada belas kasihan, tercipta dari tanah di bumi, terkutuk untuk hidup dan menjadi gila oleh kemungkaran yang terpaksa ditempuhnya.

Begitu juga perhatian yang diberikan oleh sarjana tempatan seperti Profesor Ismail Hussein, Mana Sikana, Mohd. Yusof Hassan, Ahmad Kamal Abdullah, Kassim Ahmad, Adibah Amin, Md. Salleh Yaapar dan Alis Murni.

Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia pernah menggelar Shahnon Ahmad sebagai ‘Victor Hugo Me­layu’ kerana perhatiannya yang rapi terhadap pende­ritaan dan kemiskinan petani-petani Melayu seperti digambarkannya dalam Ranjau Sepanjang Jalan.

Md. Salleh Yaapar dalam tulisannya bertajuk Nasib Petani-Petani Melayu Dalam Ranjau Sepanjang Jalan (1986) menyatakan novel ini merupakan yang pertama menukar haluan latar belakang bandar seperti Salina oleh A. Samad Said, Gersang (Alias Ali), Su­buh (Atan Long), Biru Warna (Awang Had Salleh), Dahaga (Yahya Samah) dan Angin Hitam (Wahab Ali) dan lain-lain.

Isu kemiskinan petani

“Dengan lain perkataan novel Shahnon, Ranjau Sepanjang Jalan berbeza dari novel-novel Melayu lain sezaman de­ngannya kerana tema konflik antara manusia dan alam adalah sesuatu yang baru dalam kesusasteraan Melayu” ( Md. Salleh Yaapar 1986: 196).

Shahnon dalam bukunya Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan (1993) terbitan DBP menyatakan, beliau mengambil masa selama tiga bulan untuk menulis dan menyiapkan manuskrip novel ketiganya, Ranjau Sepanjang Jalan selepas Rentong (1965) dan Terdedah (1965).

“Dalam proses me­nyiapkannya ada satu isu yang tidak dapat disingkirkan daripada fikiran. Isu itu ialah kemiskinan. Kemiskinan bangsa. Bangsa Melayu. Terutama sekali orang-orang Melayu yang jauh menghuni di pedalaman. Mereka menghadapi kesusahan, penekanan, penderitaan, penyakit dan konservatisme.

“Mereka berhadapan de­ngan keinginan-keinginan untuk hi­dup di hadapan. Hidup di sam­ping feudalisme, kapitalisme, hipokrasi dan opurtunisme yang berkembang biak dalam masyarakat. Inilah secebis potret bahasa Melayu. Bangsa Mela­yu yang masih memen­tingkan mentaliti Pak Kaduk, Pak Pandir dan Lebai Malang” (Shahnon Ahmad 1993: 460).

Menurut Shahnon, sasterawan sepertinya mempamerkan kebencian kepada kapitalis-kapitalis yang berperut buncit menindas petani sepanjang hayat, pegawai-pegawai awam yang hanya memburu kehidupan mewah dan pegawai-pegawai divisyen satu yang hidup berpura-pura membela nasib petani tetapi hakikatnya tidak pernah merasai jerih perih nasib golongan itu yang berjuang mencari se­suap nasi.

“Kepada petani-petani Melayu seperti Lahuma dan Jeha nasi membawa erti yang amat dalam. Nasi pada hakikatnya adalah nyawa mereka. Mereka yakin bahawa tanpa nasi, mereka tidak dapat hidup lagi di dunia ini. Kerana itu, nasilah yang menyambung nafas-nafas kehidupan mereka. Nasi itulah yang membangun semangat mereka untuk bangun menentang segala halangan-halangan di depan mereka” (Shahnon Ahmad 1993: 463).

Novel Ranjau Sepanjang Jalan difilemkan pada 1983 oleh Kay Sarimah Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Jamil Sulong menampilkan lakonan hebat gandingan seniman Ahmad Mahmud sebagai Lahuma berpasangan dengan Sarimah (Jeha).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan