RAJA Pop Yeh Yeh, M. Osman.
RAJA Pop Yeh Yeh, M. Osman. 

Menurut Utusan Filem dan Fesyen (UFF, 1970) dan Utusan Radio dan Televisyen (1970) istilah Pop Yeh Yeh itu sebenar­nya diceduk dari sebuah lagu The Beatles iaitu She Love You ciptaan John Lennon dan Paul McCartney dari album Twist and Shout (1964).

Lagu She Love You itu dimulakan dengan seni kata “She Love You Yeah Yeah Yeah” yang diulang sebanyak tiga kali, lalu menjadi popular dalam kala­ngan anak muda ketika itu sehingga dikenali sebagai ‘Pop Yeh Yeh’.

Lagu itu yang memuja-memuja orang yang dicintai, kisah kehidupan muda-mudi dalam alam percintaan yang dipopularkan oleh Beatles seperti Yesterday, Hey Jude, I Wanna Hold Your Hand, Help dan lain-lain turut mempengaruhi lagu Suzana yang dicipta oleh M. Osman pada 1964.

Lagu Suzana sama dengan kelahiran lagu She Love You yang dipopularkan oleh The Beatles pada tahun tersebut. Malah lirik lagu Suzana turut dimulakan dengan pengula­ngan nama Suzana sebanyak tiga kali pada permulaan­nya dengan Suzana Gadis Idamanku, Suzana Gadis Pujaanku, Suzana Engkau Pilihanku yang menyamai pembukaan lagu She Love You Yeah Yeah Yeah yang diulang seba­nyak tiga kali.

Menurut UFF dan URTV, justeru itu memang tepat apabila dikatakan lagu Suzana nyanyian M. Osman merupakan lagu tempatan pertama berirama Pop Yeh-Yeh di negara.

Lagu Suzana itu dicipta dan dinyanyikan sendiri oleh M. Osman yang turut diberi gelaran sebagai ‘Raja Pop Yeh Yeh’ dengan iringan kugiran The Mods selain kumpulan Les Fentones dan The Siglap Boy.

Menurut UFF dan URTV lagi, ketika itu tumbuh pelbagai kumpulan muzik tempatan yang berkiblatkan The Beatles serta menggunakan nama Inggeris seperti M Osman dan The Mods, Jefri Din (The Siglap 5), A Ramlie (The Rhythm Boys), Kassim Selamat (The Swallows), Eddie Ahmad (The Antartic), Hussein Ismail (The Sandblues), A Romzi (The Hook) serta lain-lain lagi kecuali kumpulan Orkes Nirwana yang diketuai oleh A. Rahman Hassan memartabatkan bahasa Melayu. Selain penyanyi lelaki, beberapa penyanyi wanita seperti J. Kamisah, Rodziah Latif dan S. Mariam turut aktif menyanyi irama pop yeh yeh.

Setiap penyanyi itu pula menyanyikan lagu yang mendayu-dayu, tentang dunia percintaan, tentang kekasih atau memuja nama wanita yang dicintai seperti Suzana (M. Osman), Oh Fatimah (A. Ramlie), Zunika (A. Romzi), Siti Haida dan Oh Salina (Jeffrydin) .

Menurut UFF dan, URTV, The Beatles tidak sahaja mempengaruhi muzik anak-anak muda era 1960-an dan peng­hujung 1970-an malahan mereka turut meniru gaya dan fesyen rambut kumpulan tersebut secara total.

Ketaksuban anak muda terhadap muzik dari Barat itu menyebabkan timbul pula fesyen terbaru yang dina­makan fesyen ala Beatles yang digayakan mengikut fesyen anggota kumpulan itu, John Lennon, Paul McCartney, George Harrison dan Ringgo Starr.

Rambut fesyen ala Beatles ini dibiarkan panjang seperti perempuan menyebabkan ramai daripada ahli kugiran dan penyanyi pop 1960-an yang menirunya.

Menurut UFF lagi, timbul fesyen ala A. Ramlie antara penyanyi Pop Yeh Yeh terkenal ketika itu yang juga meniru rambut ala Beatles.

“Fesyen ala A. Ramlie ini sangat digemari oleh penyanyi pop dan juga ahli kugiran kita. Rambut A. Ramlie ini disikat arah ke depan. Akhirnya, timbullah pula fesyen baru iaitu apa yang dinamakan fesyen ala Beatles” (UFF 1970).

Selain membawa arus fesyen ala Beatles, pengaruh muzik terkenal dari Liverpool itu juga memperkenalkan fesyen seluar sendat dan ‘fit’ seolah-olah melekat pada kulit badan si pemakai yang menjadi trend penyanyi popular ketika itu seperti M. Osman, S. Jibeng, Jefrydin dan A. Ramlie.

ESOK: Jefrydin pelopor Pop Yeh Yeh