Syed Arabi Idid dalam bukunya Peranan Media Massa Dalam Pilihan Raya Umum (2011) menyatakan, gabungan Pas-Perikatan bukanlah bermaksud untuk menggalakkan politik perkauman yang sempit tetapi apa yang lebih penting ‘penyatuan bangsa Melayu’ itu akan menjadikan rumpun bangsa itu lebih kuat dan disegani bangsa-bangsa lain di negara ini.

Pas yang secara rasmi menyertai gabungan Parti Perikatan pada 1 Januari 1973, buat pertama kalinya menyertai pilihan raya umum pada tahun 1974 tanpa menggunakan simbolnya sendiri, iaitu bulan bintang.

Pada PRU 1974, Pas bertan­ding di atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan lambang dacing sebagai salah satu parti pemerintah dan bukannya atas imej pembangkang yang bermusuhan dengan kerajaan.

“Kemunculan sulung Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 1974 dikatakan paling hebat kerana dua parti pembangkang yang kuat ketika itu, iaitu Pas dan Gerakan menjadi parti komponen BN. Selain itu, masalah yang melibatkan perebutan kerusi antara parti gabungan untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lagi timbul kerana ketokohan Tun Razak dalam merancang dan menyusun strategi.

“Strategi Tun Razak yang menjalinkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China telah berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi Cina. Selain itu Persidangan Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam yang berlangsung di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada pengaruh pengundi-pengundi Melayu dan sokongan ini secara tidak langsung berjaya menguatkan sokongan parti pemerintah, iaitu BN” (Syed Arabi Idid 2011: 39).

Keputusan pilihan raya umum tersebut menunjukkan BN memenangi 135 kerusi parlimen termasuk 47 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding. Parti pembangkang yang kuat ketika itu, DAP hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen.

Formula

Menurut Syed Arabi Idid, kemenangan lebih daripada dua pertiga yang dikecapi oleh BN pada PRU 1974 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdul Razak ternyata bukan sahaja telah meyakinkan kerajaan bahawa formula kerjasama secara besar-besaran terbukti berjaya malah resipi itu amat menguntungkan semua kaum.

Mohd. Sabri Md. Nor menerusi tesis Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Malaya bertajuk Persaingan Politik Melayu di Semenanjung Malaysia 1978-2013, menegaskan bahawa kewujudan kerajaan campuran memberi makna yang besar kepada perpaduan dan kestabilan negara dalam bentuk identiti yang baru di Malaysia.

“Kejayaan membentuk kerajaan campuran adalah kerana semua pihak yang terlibat berdiri tegak dan tegas atas kepentingan rakyat dan negara. Pembentukan kerajaan campuran merupakan satu langkah ke hadapan bagi melaksanakan hasrat BN untuk menjamin perpaduan rakyat serta kejayaan pembangunan ekonomi dan pembentukan masyarakat yang lebih adil, makmur dan kuat” (Mohd. Sabri Md. Nor 2016).

Melalui pemeterian perjanjian kerajaan campuran, wakil daripada UMNO dibenarkan untuk menyertai Kerajaan Pas Kelantan, pemimpin Pas diberi peluang memegang jawatan di peringkat pusat, 224 wakil daripada Pas dilantik sebagai Exco di negeri Kedah dan Terengganu, 225 serta negeri lain seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Akibat tindakan tersebut, persaingan politik sebelum ini saling bermusuhan yang melibatkan orang Melayu telah reda dan memberi ruang kepada pemerintah untuk merancang dan membangunkan negara. Kedua-dua pihak juga bersama-sama bertanggungjawab menangani urusan negara demi menghadapi cabaran dan ‘survival’ politik orang Melayu.

Lahirnya BN adalah merupakan kemuncak kepada strategi politik pada tahun 1970-an di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang nyata berjaya menyatupadukan umat Melayu di bawah satu bumbung.

“Penyertaan Pas dalam BN yang ditunjangi oleh UMNO adalah jawapan kepada kemelut politik pada waktu itu bagi mencari konsensus terhadap krisis yang berlaku dan dilihat sebagai percampuran ideologi Islam dan demokrasi liberal Melayu” (Mohd. Sabri Md. Nor 2016).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan