Sambutan hebat terhadap filem Bakti, lakonan P. Ramlee dan Kasma Booty telah menimbulkan ‘histeria’ dalam dikalangan peminat-peminatnya terutama di Indonesia yang berpusu-pusu menyerbu panggung wayang berdekatan.

Menurut Abdullah Hussain dalam tulisannya Liku-Liku Hidup P. Ramlee: Tokoh Legenda Sepanjang Zaman yang diterbitkan dalam buku P. Ramlee Seniman Agung Dunia Melayu (2003), akibat publisiti meluas yang diberikan oleh akhbar-akhbar di Singapura seperti Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mastika, filem Bakti menjadi filem ‘pe­cah panggung’ di kota-kota besar di Indonesia.

“Panggung Oranje merupakan panggung kelas satu yang biasa­nya hanya menayangkan filem-fi­lem besar da­ri Barat. Pada masa filem Bak­ti sedang ditayangkan di panggung Oranje Me­dan Indonesia dalam tahun 1950-an, beberapa batang jalan utama dan lorong di sekitar panggung tersebut ‘macet’ oleh kesesakan kenderaan dan manusia” (Abdullah Hussain 2003: 17).

Menurut Abdullah Hussain, keadaan yang sama khabarnya berlaku di kota-kota lain, juga di seluruh Indonesia seperti di Surabaya, Makassar, Pekan Baru, Malang, Semarang, Palembang, Bandung dan Jakarta apabila ada filem Melayu dari Singapura terutama lakonan P.Ramlee ditayangkan.

Malah, akibat sambutan hebat filem Bakti sehinggakan berlakunya pergaduhan di hadapan kaunter tiket menyebabkan ada penonton pe­cah kepala semata-mata kerana berebut-rebut hendak membeli tiket gara-gara pe­nangan lakonan P. Ramlee dan Kasma Booty.

“Oleh sebab sambutan filem Bakti terlalu hebat, maka kawan-kawan-kawan saya daripada Korp Polis Militer mengajak saya menonton. Itulah pertama kali saya melihat orangnya, kurus kerempeng, berambut kerinting dengan jerawat yang cuba ditutup dengan, make-up” (Abdullah Hussain 2003: 18).

Menurut Mustafa A.R dan Aziz Sattar dalam buku Filem-Filem P.Ramlee (2008), kejayaan memberangsangkan dalam filem Bakti menyebabkan L. Krishnan menawarkan P. Ramlee memegang peranan penuh sebagai hero dalam filem Takdir Illahi berpasangan dengan Neng Yatimah sebagai heroin.

Turut berlakon dua pelawak terkenal Daeng Idris (D. Harris) dan A.R. Tompel bagi meme­riahkan lagi filem ini. Inilah kali pertama P. Ramlee berpasangan dengan Neng Yatimah yang juga pertama kali berlakon sebagai heroin.

Faktor utama pengarah L. Krishnan mengambil Neng Yatimah sebagai heroin disebabkan beliau mudah menangis dan bersesuaian dengan peranannya sebagai Fatimah dalam filem Takdir Illahi. Selepas kejayaan Takdir Illahi, Neng Yatimah mendapat jolokan ‘bintang air mata’ filem Melayu.

L. Krishnan terus memberikan peluang kepada P.Ramlee membintangi filem arahan seterusnya Antara Senyum dan Tangis.

Menerusi filem Antara Senyum dan Tangis, P. Ramlee pertama kali berpasangan de­­n gan seniwati Rokiah. Filem ini mendapat sambutan hebat dan P. Ramlee menerima Anugerah Pelakon Terbaik anjuran majalah Filem Raya (1952) dan filem tersebut juga diiktiraf sebagai filem ‘terbaik’.

Filem seterusnya Hujan Panas lakonan P.Ramlee dan Siput Sarawak yang diarahkan B. N. Rao turut mendapat pujian ramai dan disifatkan oleh Utusan Melayu dan Utusan Filem dan Sport sebagai “P. Ramlee telah mencapai kematangan dalam mutu lakonannya”.

Sebagai menghargai lakonan mantap P. Ramlee, majalah Utusan Filem dan Sport menobatkan filem Hujan Panas sebagai filem terbaik (1953). Majalah Filem Raya juga memberikan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik kepada P.Ramlee yang memegang watak sebagai Ameer dalam filem tersebut.

Sebagai pendatang baharu dalam dunia perfileman, P. Ramlee beruntung kerana beliau dapat berpasangan dengan pelbagai nama besar seniwati dan seniman terkenal di Malay Film Production

Bermula daripada seniwati Kasma Booty dalam filem Bakti beralih kepada Neng Yatimah dalam filem Takdir Illahi, berpasangan dengan Rokiah (Antara Senyum dan Tangis), Maria Menado (Penghidupan), Mariam (Anjoran Nasib) dan Rosenani dalam filem Sedarah dan Miskin.

Selain itu, P. Ramlee juga berpeluang berpasangan dengan Siput Sarawak dalam Hujan Panas, Neng Yatimah (Ibu), Normadiah (Siapa Salah, Panggilan Pulau dan Perjodohan) dan Latifah Omar (Merana).

Dari segi lakonan P. Ramlee seolah-olah mendapat durian runtuh apabila berpelung berlakon di bawah pengarah berbeza selain L. Krishnan seperti filem Hang Tuah di bawah arah Phani Majumdar, B.S Rajhans (Chinta, Noor Asmara, Anjoran Nasib, Nilam, Rachun Dunia, Aloha dan Sejoli.

Bersama pengarah S. Ramanathan dalam filem Juwita, Sedarah, Ibu dan Panggilan Pulau. Pengarah K.M. Basker dalam filem Patah Hati dan Miskin. Pengarah B. N. Rao dalam filem Putus Harapan, Hujan Panas, Siapa Salah, Perjodohan, Merana dan Abu Hassan Pencuri.

Kepelbagaian pengalaman, kebolehan bakat sebagai penyanyi dan berlakon dalam pelbagai karektor juga membolehkan P. Ramlee muncul sebagai sebagai pelakon serba boleh yang sukar ditandingi oleh mana-mana pelakon sezaman dengannya.

ESOK: P. RAMLEE ARAH FILEM MELAYU PERTAMA.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan