Apabila cadangan ‘projek khas’ itu diketahui oleh pegawai kanannya SAC II Yau Kong Yew yang berpengalaman luas sebagai pegawai soal siasat gerila komunis sejak zaman British, beliau terperanjat besar lantas bertanya: “Adakah Datuk (Abdul Rahim) berani melakukan ini (projek khas)?

Abdul Rahim tidak mempedulikan pandangan pegawai kanannya itu tetapi sebaliknya beliau melihat faktor Kong Yew yang memiliki pengalaman yang luas dalam C­awangan Khas itu sejak era British sebagai aset berharga yang diyakininya dapat membantu menjayakan projek khas tersebut.

Abdul Rahim melantik Kong Yew sebagai Timbalan Pengarah Polis Cawangan Khas (Projek Khas) dengan tugas utama merencana perhubungan langsung dengan pemimpin ter­tinggi komunis, Chin Peng dan anggota Jawatankuasa Pusat PKM seperti Rashid Maidin dan Abdullah C.D.

Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Wira Tak Didendang (2004), Abdul Rahim ya­kin selain pembangunan pesat negara sejak merdeka ditambah pula dengan ­pe­rubahan suasana politik dunia turut mengubah sikap radikal PKM yang telah menggagalkan Rundingan Baling pada Disember 1955.

Setelah menyiapkan rangka kerja strategi dan operasi Projek Khas itu Rahim dan Kong Yew menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada pertengahan 1988 untuk memberikan laporan lengkap bagi melaksanakan tugas dan misi mereka seterusnya.

Abdul Rahim dan Kong Yew kemudiannya telah bergambar dengan Dr. Mahathir tetapi bukan untuk album kenangan atau hiasan dinding rumah sebaliknya untuk membuktikan kepada PKM bahawa mereka berada pada kedudukan yang penting dan diberikan kuasa untuk berunding.

Perundingan antara Ca­wangan Khas dan PKM berlangsung dalam suasana tegang dan ditambah pula dengan tuntutan anggota Jawatankuasa Pusat, Rashid Maidin supaya Tugu Peringatan Negara di Kuala Lumpur dimusnahkan kerana dianggap menghina perjuangan PKM yang me­lambangkan perajurit negara memijak gerila komunis yang tewas di medan perang.

“Abdul Rahim menerangkan kepada PKM bahawa pemusnahan Tugu Pe­r­ingatan Negara memerlukan kelulusan Parlimen yang tentunya akan menghadapi bantahan yang keras dan perbincangan (polemik) politik yang akan memberi kesan buruk kepada kerajaan pimpinan Dr. Mahathir. Situasi Ini tentunya akan melewatkan lagi proses rundingan dan penca­paian perdamaian.

Mengenai pemberian tanah kepada bekas-bekas anggota PKM, Rahim bertanya bagaimana kelak reaksi dalam kalangan bekas tentera, polis dan anggota keselamatan yang tidak berpeluang mendapat tanah?

“Mereka (anggota ke­se­lamatan) akan memberontak dan menentang kerajaan,” jawab Abdul Rahim.

“Melalui persetujuan dicapai, PKM tetap diharamkan tetapi kerajaan bersetuju membatalkan waran tangkap terhadap anggota PKM.

Ketua Polis Negara, Ha­niff Omar terpaksa menanda­tangani pembatalan beratus-ratus waran tangkap yang telah pun dikeluarkan terhadap mereka.

Melalui perjanjian perdamaian dengan kerjasama Kerajaan Thai di Hotel Lee Garden pada 2 Disember 1989, bekas anggota PKM diberi peluang untuk memilih sama ada terus tinggal di Thailand atau kembali semula ke Malaysia. Kebanyakan pemimpin ve­teran PKM seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D. Abu Samah (Sibar), Suriani Abdullah (Eng Meng Cheng) dan lain-lain memilih untuk menetap terus di perkampungan perdamaian yang dikhaskan untuk mereka di Selatan Thailand.

Haniff dan Pang­lima Angkatan Tentera Tan Sri Hashim Md. Ali selepas menanda­tangani perjanjian Haadyai berkata: “Kita sudah menang, moral tentera tidak terjejas kerana perjanjian itu. Ia tidak akan merendahkan moral tentera tetapi meningkatkan mo­ral kerana kita sudah menang. Kita mahukan perdamaian dan kita dapat perdamaian.

Dr. Mahathir menyifatkan kejayaan itu hasil ketabahan dan pengorbanan semua pi­hak terutama tentera dan polis.