Menerusi buku biografi, Tan Sri Datuk Indera Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman: On course from take-off to touch down (2017) oleh Sharifah Mariam Syed Mansor Al-Idrus dan Pancaran Wau Emas oleh Amir Tan (1994), beliau menyatakan keunggulan MAS teruji lagi, selepas tragedi pesawat MH 653 terhempas di Tanjung Kupang, apabila syarikat pe­nerbangan itu berhadapan pula dengan defisit kira-kira RM39 juta.

“MAS akan menempah ke­ga­galan sekiranya masalah ini tidak dapat diatasi dengan segera. Modal pusingan MAS masih tidak berubah iaitu RM70 juta dan berhadapan pula dengan defisit RM39 juta,” akui Abdul Aziz.

Selama dua dekad, beliau me­nerajui syarikat penerba­ng­an milik negara itu bermula sebagai Setiausaha Syarikat merangkap Pengurus Undang-Undang, Pemangku Pengurus Besar MAS dan seterusnya Pengarah Urusan, Abdul Aziz tidak pernah lari daripada tugas dan tanggungjawabnya untuk menyelamatkan MAS.

Ketika berhadapan dengan defisit kewangan MAS yang meruncing itu, Abdul Aziz terpaksa mengambil tindakan segera dengan membentuk sebuah Jawatankuasa Task Force yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan syarikat.

Segala perakuan yang tertakluk dalam bidang kuasa beliau sebagai Pengarah Urusan, terus diambil tindakan secara langsung oleh Abdul Aziz. Bagaimanapun, sekiranya ada masalah yang menyentuh dasar dan memerlukan tindakan yang menyeluruh, beliau akan mengemukakan kepada Lembaga Pengarah.

Antara langkah-langkah dras­tik yang dibuat Abdul Aziz ialah tindakan mengurangkan tenaga kerja di bahagian kabin dan membatalkan penerbangan yang tidak cukup penum­pang.

Semasa dalam tempoh peralihan ini, semua pekerja MAS di semua bahagian terus diberi dorongan di samping menanamkan semangat dan kecintaan kepada MAS. MAS adalah tempat pekerja menyara hidup anak isteri dan keluarga.

Beliau sendiri menganggap MAS sebagai sebuah keluarga besar dan masing-masing mestilah bertanggungjawab untuk menjaganya.

Ternyata, Jawatankuasa Task Force yang dibentuk oleh Abdul Aziz berjaya memperkuatkan dasar jangka pendek iaitu untuk menangguhkan kenaikan pangkat, tidak mengambil pekerja baharu kecuali perlu dan mengelakkan bertindan tugas.

“Hasil daripada langkah ini telah dapat mengurangkan 47 fungsi eksekutif tetapi tidak seorang pun diberhentikan kerja kerana secara kebetulannya terdapat 47 kekosongan jawatan eksekutif pada masa itu.

“Dasar ini telah menimbulkan kesan yang baik dalam kalangan pekerja. Mereka terasa seperti dilindungi walaupun terdapat langkah-langkah drastik yang tidak terduga,” tegas Abdul Aziz.

Budaya kerja Abdul Aziz ialah beliau tidak suka memecat pekerja kerana baginya manusia itu merupakan harta yang paling berharga kepada sesebuah organisasi.

Bagi Abdul Aziz, tanpa mereka (pekerja) organisasi itu tidak akan wujud. Inilah prinsip utama yang menjadi asas pegangan Abdul Aziz dalam setiap pertemuan dan perbincangan dengan kakitangannya. Dia mahu hidupnya biarlah bersama MAS (Biografi Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman 1994: 195).

Pada masa yang sama, beliau mengambil sikap berpegang kepada prinsip pengetahuan teknikal bukan bererti kemahiran teknikal. “Pengarah Urusan MAS tidak perlu tahu memandu kapal terbang tetapi dia perlu tahu segala isu yang terlibat dengan pengendalian kapal terbang. Dia juga perlu tahu ciri-ciri sebuah pesawat walaupun dia tidak mempunyai kemahiran untuk memandunya,” (Biografi Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman 1994: 200).

Keberanian Abdul Aziz untuk membawa perubahan drastik dalam operasi MAS bagi mening­katkan kualiti tenaga manusia berjaya membuahkan hasil yang positif. Ter­nyata, hanya dalam tempoh setahun sahaja banyak perubahan positif yang dapat dilihat dalam pengurusan MAS.

Melalui langkah-langkah penjimatan yang dilakukan itu beliau dapat melihat sikap dan mentaliti pekerja MAS sudah mulai berubah, bergerak bersama-sama untuk memacu syarikat mencapai kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan stabil.

ESOK: MAS catat sejarah
untung RM300 juta.