UTUSAN MALAYSIA bertarikh 13 Mei 1969 menyiarkan berita “Saya sedia tarik diri: Tunku”.
UTUSAN MALAYSIA bertarikh 13 Mei 1969 menyiarkan berita “Saya sedia tarik diri: Tunku”. 

Rentetan peristiwa hitam yang membawa kepada berlakunya tragedi berdarah tersebut, sebenarnya bermula pada hari Isnin, 12 Mei 1969, apabila Dr. Tan Chee Kon yang memenangi kerusi Parlimen kawasan Batu dengan ke­lebihan undi yang besar telah memohon permit untuk mengadakan perarakan kemenangan untuk parti Gerakan bagi meraikan ahli-ahlinya.

Kerajaan bersetuju mengeluarkan satu permit dengan syarat perarakan itu mestilah melalui jalan-jalan yang telah dipersetujui oleh pihak polis.

Malangnya, setelah perarakan berlesen itu tamat, perarakan-perarakan haram pula menyusul yang penuh dengan perbuatan provokasi terhadap orang Melayu dengan kelakuan biadab oleh samseng-samseng telah diadakan tanpa kebenaran polis.

Perarakan haram yang di dalangi oleh samseng itu bukan sahaja telah melanggar perintah polis tetapi turut melalui jalan-jalan yang tidak dibenarkan sehingga menghalang lalu lintas.

Perasaan ‘gila kemenangan’ tambah memuncak dan tidak terkawal lagi apabila pihak komunis mengambil kesempatan menghasut dan menghangatkan pe­rasaan mereka.

Menurut Tunku, perarakan haram ini telah masuk ke Jalan Campbell dan Jalan Hale (Jalan Raja Abdullah), iaitu jalan yang menghala ke Kampung Baru di mana 30,000 orang Melayu telah hidup dengan rukun damai dalam kawasan mereka sendiri yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur sejak bertahun-tahun lamanya.

“Di sepanjang jalan mereka telah bertempik sorak dan apabila mereka berada di kawasan Melayu itu mereka telah mengejek-ejek dan me­nunjukkan kebesaran mereka untuk menaikkan perasaan marah orang Melayu” (Tunku Abdul Rahman 2007: 68).

Laporan dari Balai Polis Jalan Traves menyatakan: “Satu kumpulan daripada mereka yang ramainya kira-kira 20 orang telah berhenti di hadapan Balai polis Jalan Travers. Seorang daripadanya telah melaungkan perkataan “Me­layu mati” di hadapan rumah kediaman anggota polis di ba­lai itu dan juga menunjukkan kemaluannya kepada polis dengan disaksikan oleh isteri anggota polis yang ada dalam kawasan rumah kediaman mereka. Seorang mata-mata telah membuat laporan atas kelakuan biadap dan tidak sopan itu.

DUA anggota polis beruniform dan bersenjata lengkap duduk di belakang sebuah bas yang berulang alik
DUA anggota polis beruniform dan bersenjata lengkap duduk di belakang sebuah bas.

“Selepas dari itu, mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Salah satu daripadanya telah pergi ke Jalan Mountbatten menahan kereta-kereta orang Melayu dan memaki hamun mereka dengan tujuan hendak menghina mereka. Mereka telah mengecam hendak menonyoh mata anak perempuan OCPD sendiri yang berumur 17 tahun. Sambil itu mereka berkata ‘Engkau Melayu Bodoh’, ‘Tidak berkuasa’. Seorang pemuda Melayu telah membuat laporan di ibu pejabat polis yang menyatakan dia telah dipukul oleh tiga orang Cina di Foch Evenue”.

Satu tindak balas berupa tunjuk pe­rasaan telah diadakan pada petang 13 Mei kerana orang Melayu di Kuala Lumpur sangat marah dengan tunjuk perasaan anti-Melayu dan perbuatan menghina dan biadab yang dilakukan oleh puak-puak pembangkang.

Darurat

Perarakan UMNO itu yang dimulakan di rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Haji Idris di Jalan Raja Muda, turut dihadiri ratusan orang Melayu termasuk para pesilat yang berlilit kepala dan memakai baju hitam laksana pendekar Melayu.

Kira-kira pukul 6.45 petang, Tunku yang sedang berbual-bual dengan Tun Sambanthan, menerima panggilan telefon yang menyatakan satu kejadian ngeri telah berlaku di Jalan Raja Muda menyebabkan beberapa orang Cina telah di­serang.

Mansor Mohamed Noor, Ketua Lalu lintas Polis Kuala Lumpur dalam laporannya kepada Tunku turut menyebut bahawa beberapa kejadian pembunuhan telah berlaku di Kampung Baru.

Serta merta, Tunku mengisytiharkan perintah Darurat dalam ucapannya melalui Radio dan Televisyen Malaysia pada 13 Mei 1969. Tunku menyatakan: “ Kejadian yang tidak diingini telah pun berlaku di Kuala Lumpur dan pasukan keselamatan telah pun mengawal dengan kuatnya di serata tempat dan penjuru-penjuru jalan. Dengan keadaan yang demikian saya terpaksa mengisytiharkan darurat di Kuala Lumpur...” (Tunku Abdul Rahman 2007: 78).

ESOK: 13 MEI CETUS PANIK DI KUALA LUMPUR