Semua tambang kapal terbang dan perbelanjaan sewaktu menghadiri upacara itu adalah ditanggung sepenuh­nya oleh Pejabat Tanah Jajahan British.

Menurut Abdul Aziz Ishak dalam bukunya Katak Keluar Dari Bawah Tempurung (1987) semasa

AZIZ ISHAK
AZIZ ISHAK 

berada di Britain beliau menginap di Hotel Saints Ermins dan tinggal sebilik de­ngan George Tan.

Abdul Aziz Ishak bertuah kerana beliau termasuk dalam senarai empat orang wartawan dari 40 orang dari wakil media seluruh dunia yang terpilih menyaksikan upacara kemahkotaan Queen Elizabeth dari dalam gereja besar Westminster iaitu lokasi diadakan upacara gilang gemilang itu.

“Upacara kemahkotaan Queen Elizabeth itu diadakan dengan upacara yang gemerlapan dan indah yang tidak ada tolok bandingnya. Hanya sekali saja dalam hidup saya melihat upacara yang hampir-hampir merupakan upacara kemahkotaan Queen Elizabeth II iaitu upacara kemahkotaan Sultan Selangor di Kelang pada tahun 1938.

“Dalam rencana saya itu saya telah memuji dengan setinggi pujian atas peribadi Baginda Queen yang sentiasa tenang dalam masa upacara kemahkotaan itu dan tentang keindahan upacara itu pada keseluruhannya.

“Tetapi saya juga memberitahu bagaimana beberapa orang pekerja-pekerja dengan membawa penyapu telah me­nyapu permaidani dalam masa antara satu babak dengan babak yang lain dalam upacara itu. Ini mengingatkan saya kepada anak-anak wayang Cina yang keluar dari balik tirai dan membetulkan meja serta kerusi dalam masa antara satu babak ke babak yang lain” (Abdul Aziz Ishak 1987: 94).

Abdul Aziz Ishak juga menceritakan beliau turut merakamkan adegan-adegan menarik bagaimana kelakuan-kelakuan tetamu Queen yang terkemuka semasa menghadiri upacara tersebut.

“Umpamanya saya nampak Sir Winston Churcill, duduk sekurang-kuranganya dua kali pada masa tetamu-tetamu patut berdiri bersama-sama bagi membaca doa. Saya sendiri pun kalau saya seorang yang paling disegani orang seperti Sir Winston akan duduk ketika orang berdiri kerana saya akan berasa letih kalau saya diminta sebentar-sebentar berdiri dan sebentar-sebentar duduk seperti dalam upacara kemahkotaan yang memakan masa selama empat jam.

“Saya juga nampak Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru macam tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku di depannya dan Perdana Menteri Pakistan, Mohamad Ali Jinnah, seolah-olah tidak sabar lagi berlama-lama di situ,” cerita Aziz Ishak lagi.

Malah Aziz Ishak juga me­nulis mengenai ketaatan rak­yat Britain terhadap raja mereka apabila berpuluh-puluh ribu lelaki, perempuan dan kanak-kanak tidur di jalan-jalan raya tempat akan dilalui baginda Queen, sehari sebelum upacara itu berlangsung. Mereka mengorbankan segala kesenangan demi untuk menatap wajah raja mereka sa­yangi.

Turut ditulis Aziz Ishak ialah bagaimana upacara itu kebetulan diadakan pada bulan puasa yang lebih panjang waktunya dari Malaya menyebabkan ada raja-raja Melayu yang menghadiri majlis itu tidak berpuasa.

“Saya memberitakan bagaimana beberapa orang Raja-raja Melayu itu terpaksa meninggalkan puasa kerana saya menjumpai Ke bawah Duli-Duli itu menghadiri jamuan minum yang dianjurkan oleh Pebabat Tanah Jajahan pada masa siang hari. Dalam memberitakan hal ini saya tidak lupa memberitakan bahawa Sultan Selangor tidak pernah tidak tinggal puasa.

“Rencana saya mengenai upacara kemahkotaan Ba­ginda Queen Elizabeth itu rupanya memeranjatkan Kerajaan Persekutuan. Akhbar Straits Times tidak langsung menyiarkannya. Cuma Singapura Standard dan Utusan Melayu saja yang menyiarkannya. Akhbar-akhbar Cina dan India hanya menyiarkan separuh saja dari rencana itu” (Abdul Aziz Ishak 1987).

Sehari sesudah pulang ke Malaya, Abdul Aziz Ishak te­lah menerima panggilan te­lefon daripada Pegawai Tinggi Akhbar Kerajaan Persekutuan, Tuan Landsay yang menyatakan Jeneral Sir Gerald Templar hendak berjumpa beliau pada pukul 5 petang esoknya di King’s House.

Menurut Zainuddin Maidin dalam bukunya Di Depan Api Di Belakang Duri (2013), laporan terus terang Aziz mengenai upacara pertabalan Queen Elizabeth II telah mengecewakan Templer yang mengharapkan pemilihannya ke upacara itu bagi mewakili semua akhbar di Malaya akan melembutkan sikap Utusan Melayu dan Aziz terhadap kerajaan kolonial British.

ESOK: Templer panggil Aziz Ishak ‘seekor tikus’.