MOHD. ALI HAJI SANAT
MOHD. ALI HAJI SANAT 

Ruangan kartun ini dilukis oleh pelukis terkenal Mohd Ali Haji Sanat yang popular dengan karikaturnya ‘Wak Ketok’ di Utusan Zaman. Lakaran karikatur Ali Sanat penuh dengan sindiran tajam, simbolik terhadap sesuatu isu atau keadaan ekonomi, sosial dan politik masyarakat Me­layu di zaman itu.

Menurut pengarangnya “Adapun perkataan karikatur itu ialah rekaan baharu diambil dari perkataan caricature atau kartun ertinya gambar rekaan terbit dari fikiran atau yang terbit dari bersenda-senda”.

Mesej atau teguran yang disampaikan melalui karikatur itu menjadikan masyarakat lebih tertarik membacanya dan memberi kesan lebih mendalam pergolakan semasa yang berlaku di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.

Karikatur yang di­siarkan dalam akhbar Utusan Zaman bertajuk“ Susu Tanah Melayu diperah oleh sekalian orang” yang disiarkan pada 8 Disember 1939 antara karya klasik Mohd. Ali Haji Sanat yang masih re­levan dengan kemelut yang di­hadapi masyarakat orang Me­layu hari ini. Rata-rata orang Melayu masih ke­tinggalan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pertanian, pendidikan, teknologi, perubatan dan keusahawanan berbanding kaum-kaum lain.

SUSU TANAH MELAYU DIPERAH OLEH SEKALIAN ORANG

“LIHATLAH Malaya itu disifatkan seperti seekor ibu lembu dipunyai oleh bangsa Me­layu. Hak kepunyaan itu boleh dipastikan daripada tali yang dipegangnya tetapi dibawanya tidur berdengkur.

“Kerana tidur itu maka sekelian orang pun berlumba-lumba mengambil susu daripada lembu itu. Lembu itu ialah lembu rakyat. Semua orang sudah tahu bahawa tidur orang Melayu itu seperti mati. Jika ku dicampakkan ke laut pun harus ia tiada sedar maka tentulah ia tiada akan sedar susu lembunya di perah orang. Dia cuma sedar kelak perutnya lapar tetapi susu lembu sudah kering. Dengan hal demikian Cina bekerja keras membuka baju dapat memikul susu.

“Orang India bekerja keras juga pakai cawat sahaja dapat menjunjung sebuyung susu. Orang Arab menyingsing lengan pula dapat dua baldi. Lain-lain bangsa dapat pula memikul satu berkas.

“Bandingkanlah kepada Me­layu yang tidur itu. Songkok­nya walau tengah tidur pun mesti senget juga. Lihat pula seluar lacuannya dan sampingnya tak tanggal. Tidur bersandar ke batang kelapa pun jadi”.

FOTO kehidupan daif orang Melayu Pasir Panjang Singapura.
FOTO kehidupan daif orang Melayu Pasir Panjang Singapura. 

KEHIDUPAN DAIF MELAYU SINGAPURA ERA 1950-AN

AKHBAR Utusan Melayu 19 Jun 1939, turut merakam suasana kehidupan perkampungan Melayu di Pasir Panjang Singapura dengan rumah-rumah penduduk­nya yang daif bagi mempelajari hal-hal kehidupan pekerjaan dan pergaulan mereka di sana.

“Maka di dapati orang-orang Melayu di sana sungguh pun miskin tetapi hidup mereka itu cukup aman dan nikmat semua cukup puas hati dengan hal keadaan masing-masing”.

MELAYU SINGAPURA HIDUP IBARAT “KAIS PAGI MAKAN PAGI...”

AKHBAR Utusan Melayu 19 Jun 1939 berjaya melukiskan kehidupan daif penduduk Perkampungan Pasir Panjang yang terletak di Barat Daya Singapura. “Kebanyakan orang-orang Melayu yang tinggal sepanjang pantai Pasir Panjang itu pekerjaannya ialah menangkap ikan tetapi yang lain-lain yang bukan nelayan pun pandai juga menangkap ikan dengan kail, pukat atau jala.

“Orang ini agaknya sudah jemu makan ikan kering lalu ia pun turun ke pantai dengan jalanya. Tidak berapa lama lepas itu ia pun balik membawa kan-ikan lalu disambut anak-anaknya dengan kesukaan” (Utusan Melayu 19 Jun 1939).