“Namun, oleh kerana gerakan ini adalah gerakan rahsia dan sulit, di kalangan anggotanya tidak pula diperkenalkan antara satu sama lain. Mereka dipisahkan dalam kumpulan kecil dan tidak pun mengetahui nama gerakan Force 136 mereka sehinggalah selepas tamat perang.

“Mereka juga tidak diberitahu bila dan bagaimana mereka akan dibawa atau dihantar kembali ke Tanah Melayu dan bagaimana caranya. Yang mengetahui rancangan sulit ini hanyalah pemimpin mereka, Tengku Mahmood Mahyiddeen” (Wan Hashim Wan Teh 1996: 104).

KETUA Turus Force 136, Mejar Tengku Mahmood Mahyiddeen, pemimpin tertinggi agensi perisikan itu.
KETUA Turus Force 136, Mejar Tengku Mahmood Mahyiddeen, pemimpin tertinggi agensi perisikan itu. 

Menurut Wan Hashim, kumpulan pertama yang dihantar untuk meneroka perjuangan gerakan Melayu terdiri dari enam orang yang dipimpin oleh Kapten Ibrahim Ismail bersama Haji Ahmad Nayan (pelajar dari Mekah) Haji Razak (pelajar di Mekah), Mohd. Zain Jaafar (pelajar Melayu di India).

Setelah gagal mendarat dengan kapal selam, mereka diberi pilihan kedua mendarat dengan bot terbang Catalina di kawasan Pantai Terengganu kerana rondaan di sepanjang pantai barat telah ditingkatkan oleh tentera laut Jepun.

Pada 30 Oktober 1944, menerusi Operasi Oatmeal Violin, tiga orang daripada mereka iaitu Kapten Ibrahim Ismail, Haji Zakaria dan Mohd. Zain Jaafar berjaya membuat pendaratan di Pulau Perhentian di Terengganu tetapi ditangkap oleh Jepun di Kuala Besut dua hari kemudian.

Kesemua mereka dibawa ke Kota Bharu, Kelantan untuk disoal siasat dan seterusnya dibawa ke Taiping sebagai tawanan sehingga perang tamat.

Kapten Ibrahim dalam bukunya Have You Met Mariam (1984) menceritakan panjang lebar pengalamannya semasa dalam tahanan Jepun.

Sebagai seorang ejen peri­sik, jika tertangkap hukumannya adalah dipancung kepala. Sebaliknya kalau hendak selamat mereka boleh menyerah diri dan menceritakan segala rahsia diri mereka kepada pihak Jepun.

Tetapi itu bermakna mereka berpaling tadah dan mengkhi­anati Force 136, sumpah dan janji mereka sebagai seorang perisik.

Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk berpura-pura berpaling tadah. HAVE YOU MET MARIAM sebenarnya ialah nama kod keselamatan yang menandakan mereka selamat dan semuanya berjalan dengan lancar. Pihak Special Operation Executive (SOE) dan Trincomalee akan menghantar kod HAVE YOU MET MARIAM.

Sekiranya mereka bertiga selamat dan tidak menghadapi masalah, jawapan yang harus dihantar melalui radio ialah “Two Scotsmen left here two days ago!”

Apabila jawapan lain yang dihantar, ini memberi risikan kepada SOE bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Semasa dalam tahanan tentera Jepun inilah Kapten Ibrahim bersama sahabatnya disoal siasat secara berasingan oleh polis tentera Jepun yang dikenali dengan nama ‘Kempeitai’

Untuk membuktikan kepada pihak Jepun bahawa Kapten Ibrahim dan rakannya sudah berpaling tadah, hubungan radio tetap dihantar kepada SOE dengan memberitahu bahawa keadaan mereka seperti biasa.

Tidak berapa lama dalam tahanan Kompeitai inilah kod HAVE YOU MET MARIAM sampai kepada Kapten Ibrahim dan dua rakannya melalui hubungan radio.

Pihak Jepun bertanya kepada Kapten Ibrahim apakah maknanya dan apakah jawapan yang patut diberi? Di sinilah Kapten Ibrahim membohongi Kempeitai Jepun itu dengan membe­ritahu jawapan yang patut dihantar ialah ‘YES I HAVE MET MARIAM’.

JENERAL Ibrahim Ismail bekas Kapten Force 136.
JENERAL Ibrahim Ismail bekas Kapten Force 136. 

Pada mula­nya, pihak Jepun mengesyaki mereka mungkin berbohong tetapi selepas diyakini oleh Kapten Ibrahim, pihak Jepun akur dan mene­rima jawapan tersebut tanpa sebarang bantahan.

Alasan yang diberikan oleh Kapten Ibrahim bahawa jika jawapan lain yang diberi mungkin hubungan dengan pihak SOE akan terputus sama sekali.

Pada masa yang sama, pihak SOE telah menghantar pasukan mereka membuat pendaratan rambang atau ‘blind drop’ me­lalui payung terjun di kawasan Gerik, Perak diketuai oleh Leftenan Kolonel Peter James Dobree.

Ketika inilah peranan Kap­ten Ibrahim dan rakan-rakannya sebagai ejen talam dua muka begitu berkesan sekali.

Melalui hubungan radio, Kapten Ibrahim membohongi pihak Jepun bahawa pendaratan akan dibuat di bahagian utara Semenanjung dalam kawasan Padang Besar.

Pihak Kempeitai yang termakan umpan Kapten Ibrahim telah mengerahkan tentera Jepun supaya berjaga-jaga di kawasan utara dan membiarkan kawasan selatan terdedah.

Kapten Ibrahim dan kedua-dua rakannya berada dalam tahanan selama 10 bulan. Dua bulan pertama dihabiskan di Kelantan dan pada Januari 1945, mereka telah dihantar ke Bukit Maxwell, Tai­ping.

Di atas bukit tempat peranginan itulah mereka menghabiskan masa mereka dengan mena­nam sayur dan menjalin hubungan baik dengan tentera Jepun yang mengawal mereka.

Pada 24 Ogos 1945, pihak Jepun meninggalkan banglo di Bukit Maxwell selepas menye­rah kalah berikutan pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

NOTA: Kapten Ibrahim Ismail akhirnya dilantik sebagai Jeneral dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketiga.