Panca Delima merupakan filem pertama lakonan Jins sebagai hero yang digandingkan dengan seniwati Hashimah Yon serta dibantu oleh Uda Umar, Haji Mahadi, Aini Hayati, Sharif Dol, Kemat Hassan, Ali Fiji, M.Rafee dan Omar Suwita.

Menerusi Panca Delima, pertama kali P. Ramlee menye­rahkan watak hero kepada Jins seorang pelakon baru selepas filem Penarik Beca dan Semerah Padi lakonannya menjadi filem box-office.

JINS Shamsuddin semakin terkenal selepas membintangi filem Jefri Zain Gerak Kilat sehingga mendapat
JINS Shamsuddin semakin terkenal selepas membintangi filem Jefri Zain Gerak Kilat sehingga mendapat jolokan ‘James Bond of Asia.’

Menurut Mohd. Zamberi A. Malek dalam buku Suria Kencana: Biografi Jins Shamsuddin (1998), setelah filem Panca Delima ditayangkan kepada wartawan di bilik pratonton di ibu pejabat Shaw Bro­thers, Robinson Road, kedengaranlah komen membina serta kata-kata yang menggalakkan tentang kejayaan filem itu yang disifatkan sebagai ‘filem fantasi’ luar biasa.

Wartawan yang hadir sesi memberikan kata-kata pujian kepada Jins, selaku pelakon baru yang ‘versatile’ kerana berjaya memegang watak hero sebagai Suria Kencana berdasarkan skrip asal Run Run Shaw, pemilik Malay Film Productions (MFP).

Ketika itu, wartawan filem yang selalu membuat kritikan ialah wartawan dari akhbar Utusan Melayu, Hussain Jahidin, Hassan Moein (Utusan Film dan Sport), Abdullah Hussein (Gelanggang Film dan Jymy Asmara (Majalah Filem).

“Akhbar Utusan Melayu, Majalah Filem, Utusan Filem dan Sport serta beberapa majalah hiburan lain menyifatkan kemunculan Jins sebagai sebutir permata yang akan menyinari dunia perfileman Me­layu” (Mohd. Zamberi A. Melek 1998: 51).

Kejayaan Panca Delima berjaya mengangkat nama Jins sebagai bintang filem ternama dan kemasyhuran beliau mula menjadi perhatian dan rebutan pengarah-pengarah filem di StudioJalan Ampas.

Sebuah lagi filem yang berjaya mengangkat nama Jins di persada seni tanah air ialah Si Tanggang, arahan Jamil Sulong.

Filem yang diolah daripada cerita rakyat ini mendapat sambutan hebat dalam kala­ngan penonton sekali gus menjulang nama Jins.

“Pengarah Jamil Sulong te­lah memberikan peluang dan cahaya yang terang kepada saya untuk menjadi seorang pelakon ternama melalui pe­ranan yang diserahkan kepada saya dalam filem Si Tanggang,” jelas Jins apabila diminta me­ngulas kejayaan filem itu.

Perisik ala James Bond

Menurut Zamberi Abdul Malek, filem Jefri Zain dalam Gerak Kilat merupakan filem pertama bercorak ejen perisik dan merupakan filem terakhir lakonan Jins di Studio MFP di Jalan Ampas, Singapura.

Filem berbentuk perisikan dan penuh aksi ini diarah oleh Jamil Sulong dengan membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Jins, Sarimah, Salleh Kamil, Salim Bachik, Rita Cheong, Silvia Koh, Rene Richardson, Margaret Clougher dan ramai lagi.

“Jins sebagai pelakon utama memegang watak Jeffri Zain seorang pengintip rahsia. Nama tersebut muncul hasil daripada gan­dingan ‘Jeffri’ dan ‘Zain’ yang merupakan nama sebenar Jins Shamsuddin dan masih digunakan dalam kalangan keluarga di kampung.

“Cadangan mencantumkan kedua-dua nama tersebut menjadi ‘Jefri Zain’ dibuat oleh Pegawai Penerangan Shaw Brothers Jaafar Abdullah. Pemilihan pelakon untuk memegang peranan utama memanglah kena pada tempatnya kerana Jins mempunyai iras wajah mirip pelakon Sean Connery yang memegang watak James Bond dalam filem keluaran Hollyswood itu” (Zamberi Abdul Malek 1998: 63).

Penggambaran filem ini dilakukan pada 22 Mac 1966 di Pantai Changi dan Serangoon Garden. Filem ini sekali lagi mengangkat nama Jins sebagai seniman hebat di layar perak. Lakonan Jins semakin dikagumi kerana ketangkasannya yang menyerupai watak James Bond sehingga diberi gelaran ‘Singapore’s Own Bond’ dan ‘James Bond of Malaysia’.

Pada 11 Januari 1967, Jins sekali lagi diberi peluang berlakon sebagai perisik rahsia bertaraf antarabangsa menerusi dua buah filem aksi Bayang Ajal dan Jurang Maut di studio Shaw Brothers di Hong Kong.

Bayangan Ajal adalah arahan Loh Wei, yang kemudiannya memperkenalkan Bruce Lee dan Jackie Chan. Turut sama menjayakan filem aksi ini ialah Landi Kong dan Fanny Fan. Filem kedua bercorak perisik Jurang Maut masih meneruskan watak Jeffri Zain dengan pelakon yang sama.

Kedua-dua filem ini berjaya memperkenalkan Jins sebagai perisik di pe­ringkat antarabangsa sehingga melayakkan beliau digelar ‘James Bond of Asia’.

“Semasa berada di Hong Kong, beliau menerima berita bahawa Studio Jalan Ampas te­lah ditutup. Berita itu dite­rimanya dengan linangan air mata mengenangkan nasib filem Melayu dan terbayangkan nasib rakan seperjuangan akibat penutupan studio itu” (Zamberi Abdul Malek 1998: 69.

Bermula dengan watak Suria Kencana dalam filem Panca Delima diakhiri dengan watak Jefri Zain, dalam Bayangan Ajal dan Jurang Maut sehingga mendapat jolokan ‘James Bond of Asia’ merupakan suatu pencapaian tertinggi seniman Jins Shamsuddin sebagai seorang tokoh perfileman hebat negara selepas Seniman Agung P. Ramlee.