KISAH Pertabalan Queen Elizabeth II yang ditulis oleh Abdul Aziz Ishak dianggap oleh Jeneral Templer
Queen Elizabeth II

Tuan Bottoms membe­ritahu Abdul Aziz bahawa Templer sedang sibuk dan meminta­nya duduk. Beliau menunggu selama 15 minit sehingga dia bersedia menerima kedatangan wartawan Utusan Melayu itu.

Setelah me­nung­gu kira-kira 10 minit, Tuan Bottoms pun membawa Abdul Aziz ma­suk berjumpa Templer di biliknya.

Menurut Abdul Aziz dalam bukunya Katak Ke­luar Dari Bawah Tempurung (1987), mula-mula Templer ber­tanya sekiranya tahu tujuan beliau dipanggil menghadapnya.

“Saya tahu pertanyaan itu cuma pembuka mulut dan sebelum saya dapat menjawab, dia (Templer) berteriak me­nyeranah saya dengan memanggil saya “Bloody Fool, Idiot” dan lain-lain perkataan yang maknanya lebih kurang dengan dua perkataan tadi kerana rencana saya tentang upacara kemahkotaan Queen Elizabeth II.

“Selanjutnya dia berkata bahawa saya mengaibkan nama Malaya. Saya seorang yang tidak berguna dan nama saya sudah menjadi busuk di seluruh Asia Tenggara. Saya adalah ‘seekor tikus’, suatu panggilan yang keji di sisi orang-orang Inggeris,” (Abdul Aziz Ishak 1982: 98).

Beliau membantah sekeras-kerasnya celaan yang dilemparkan oleh Templer itu dan tidak dapat menahan marah akibat dipanggil berulang kali sebagai ‘seekor tikus’.

Templer turut mencabar Abdul Aziz supaya menyiarkan rencana mengenai pertemuan beliau dengannya dalam akhbar keesokan harinya.

“Saya menjawab bahawa saya akan menyiarkannya besok dan terus keluar dari biliknya. Dalam pertemuan itu saya tidak pun memanggil ‘Sir’ iaitu panggilan biasa saya terhadapnya. Saya keluar dengan perasaan yang marah sekali.

“Saya hendak menutup pintu biliknya dengan kuat sekali tetapi pintu biliknya itu adalah jenis yang tidak boleh ditutup dengan kuat” (Abdul Aziz Ishak 1982: 99).

Beliau cuba menghubungi abangnya, Yusof Ishak tetapi tidak berjaya, lalu memaklumkan ‘Peristiwa Tikus’ itu kepada Timbalan Pengarang Utusan Melayu pada masa itu, A. Samad Ismail yang berjanji akan membantu menyelesaikan isu itu.

PERAKUAN

Menurut Abdul Aziz lagi, selepas bertemu abang­nya Yusof pada pukul 7 malam, beliau dimaklumkan sudah berbincang de­ngan peguam Utusan Melayu, Lee Kuan Yew. Utusan Melayu mengambil keputusan untuk menyiarkannya sebagai berita penting di muka satu. S. Rajaratnam juga turut memberi perakuan akan menyiarkan ‘peristiwa tikus’ itu dalam akhbarnya, Singapura Standard.

“Pada besok paginya betullah kejadian seperti apa yang telah dijanjikan oleh abang saya Yusof dan Rajaratnam itu, gambar Templer dan saya terpampang di muka depan Utusan Melayu dan Singapura Standard.

“Akhbar Straits Time juga mengikuti berita itu setelah mereka membaca Singapura Standard dan Utusan Melayu. Sebelumnya mereka telah menelefon King’s House bertanya adakah berita itu benar. King’s House mengesahkan berita itu” (Abdul Aziz Ishak 1982:100).

mysubject
Akhbar Utusan Melayu

Dua bulan lamanya kisah ‘Peristiwa Tikus’ itu menjadi berita hangat dalam akhbar-akhbar di Singapura. Surat-surat pembaca yang diterima oleh akhbar Singapura Stan­dard menunjukkan ramai yang menyebelahi Abdul Aziz dan mengecam kebiadaban Templer.

Begitu juga dengan akhbar Utusan Melayu yang me­nyiarkan surat-surat pembaca mengecam Templer selain akhbar Majlis menyiarkan kisah yang sama dan menyebe­lahi Abdul Aziz.

Seorang pensyarah dalam bidang Sejarah Timur Jauh di Universiti Cambridge, Dr. Victor Purcel dalam bukunya Malaya: Communist or Free (1955) telah menyokong Abdul Aziz dan mencela Templer.

Dr. Purcel menyatakan: “Sungguhpun peristiwa itu bukan satu perkara perkauman tetapi sikap Templer men­caci Abdul Aziz, seorang wartawan dan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan itu dengan memanggilnya dengan panggilan ‘tikus’ dan ‘sebusuk-busuk wartawan dalam Asia Tenggara’ adalah meniupkan lagi semangat kesedaran asal kepada orang Malaya.

Menurut Purcel lagi, seseorang yang mengkaji dengan halus rencana Abdul Aziz yang menimbulkan kemarahan Tem­pler itu akan mengambil kesimpulan bahawa rencana tersebut tidak ada sedikit pun mengandungi unsur-unsur menderhaka kepada baginda Queen.

“Sebaliknya dia (Abdul Aziz) dengan penuh takzim telah memberi setinggi-tinggi pujian kepada Baginda Queen kerana menunjukkan ketabahan dalam upacara-upacara yang memakan waktu yang sangat lama dan yang meletihkan itu. Dia mengulas tentang kejadian-kejadian yang berlaku antara babak-babak dalam upacara itu yang pada orang luar tentulah dipandang kecil.

HORMAT

“Sesungguhnya rencana itu adalah lebih hormat daripada rencana-rencana yang disiarkan oleh akhbar-akhbar British yang digemari ramai. Kebetulan pula rencana tersebut jauh lebih hormat kepada Raja Inggeris daripada rencana yang ditulis oleh Lord Macaulay tentang kemahkotaan King William Keempat” (Victor Purcel 1955).

Menariknya ‘Peristiwa Tikus’ ini telah menyebabkan nama Abdul Aziz dan Utusan Melayu menjadi ter­kenal di seluruh dunia.

“Jeneral Templer bukanlah yang pertama memanggil saya ‘seekor tikus’, orang pertama berbuat demikian ialah D.W. Le Mare, Penolong Pengarah Perikanan pada masa sebelum perang,” cerita Abdul Aziz.

Kejadian itu berlaku dua minggu setelah Jepun me­nyerang Singapura.

“Sedang saya berlari-lari kecil keluar, saya tidak sedar Le Mare ada di belakang saya. Sedang saya turun tangga, Le Mare meme­gang bahu saya seraya berkata: Aziz, awak jangan lari macam tikus. Te­linga saya berdesing. Saya tak tahu apa hendak saya katakan kecuali menyahut, oh!” (Abdul Aziz Ishak 1985:107).