Menurut Aimi Jarr dalam artikel bertajuk ‘Jefri Din yang membangkitkan angkatan Yeh Yeh’ dalam majalah URTV 15 September 1975, penyanyi yang dilahirkan di Palembang, Indonesia itu dianggap sebagai ‘pelopor’ angkatan Pop Yeh Yeh diekori penyanyi lain se­perti A. Ramlie, Kasim selamat, Hussain Ismail, A. Rahmie, M. Osman, S. Latifah, Siti Mariam, Asmah Atan dan Fatimah M. Amin.

 

Jefrydin ketika itu yang masih menuntut di sekolah menengah dan tinggal di Sofia Road bersama neneknya turut meminati nyanyian kumpulan The Beatles.

Beliau menyimpan impian dan berangan-angan ingin menjadi terkenal seperti Ringgo Starr dan Paul McCartney suatu hari nanti.

Ketika muzik pop Barat berada di kemuncaknya di Singapura, Persatuan Pemuda-Pemudi Singapura telah menganjurkan pertandingan nyanyian gitar rancak dalam kalangan pemuzik tempatan.

Tanpa disangka-sangka, Jefrydin dan kumpulan The Rythm Boys muncul sebagai juara pertandingan itu. Setelah The Rythm Boys terkenal, sebuah lagi kugiran muncul di Singapura dengan nama The Siglap Five.

Jefrydin memainkan peranan penting dalam penubuhan kugiran baru itu tetapi beliau tidak menjadi penyanyi tetapnya. The Siglap Five yang baru ditubuhkan itu mengambil A. Ramlie sebagai penyanyi tetapnya dan tinggallah Jefrydin seorang menjadi penyanyi dalam kugiran The Rythm Boys.

Pernah suatu ketika, Jefrydin dan A. Ramlie bertarung dalam satu pertandingan kugiran di Singapura yang turut disertai pelbagai kugiran tempatan.

Keputusannya, Jefrydin de­ngan kumpulan The Rythm Boys menduduki tempat pertama dan A. Ramlie dengan The Siglap Five di tempat ketiga.

Biarpun Jefrydin dan A. Ramlie sudah mempunyai kugiran masing-masing tetapi hubungan mereka berdua tetap rapat dan mesra.

“Dialog yang sering meluncur dari mulut Jefrydin dan A. Ramlie yang masih menjadi penyanyi amatur ketika itu ialah: Suatu hari nanti aku mesti jadi penyanyi terkenal...” tulis Aimi Jarr lagi.

Malah nama penyanyi A. Ramlie, singkatan nama Ramli Ahmad itu sebenarnya dicadangkan oleh Jefrydin sendiri.

Ketika mereka berkawan baik, Jefrydin mencadangkan supaya Ramlie Ahmad memakai nama A. Ramlie. Bagi Jefrydin, nama A. Ramlie sedap dan mudah dipanggil.

“Barangkali nama itu akan bawa tuah baru,” ungkap Jefrydin kepada A. Ramlie.

Mulai saat itulah penyanyi ‘mentah’ yang bernama Ramlie bin Ahmad itu dikenali dengan nama A. Ramlie yang menjadi penyanyi tetap The Rythm Boys.

Populariti yang diraih Jefrydin di luar dugaan sehinggakan lagu ‘Pujaan Terhina’ yang mengisahkan kehidupan penyanyi itu yang pernah dicemuh ketika mula menceburi bidang nyanyian menduduki carta pertama lagu-lagu pujaan ramai yang diterbitkan di Radio Singapura.

“Semacam kepuasan terserlah dalam hati nurani Jefrydin bila melihat lagu itu mendapat tempat istimewa lagu-lagu pop yang sedang dalam kegilaan anak-anak muda. Kemudian dia terus mara ke hadapan tanpa menoleh lagi ke belakang.

“Ketika namanya berada di kemuncak kemasyhuran itu membuatkan ramai gadis yang tergila-gilakan Jefrydin. Ada yang melamarkan dirinya untuk menjadi teman hidupnya. Ada yang sanggup meninggalkan keluarga kalau Jefrydin sudi mengambilnya sebagai pasangan hidupnya,” tulis Aimi Jarr lagi.

Secara mendadak, populariti lagu-lagu nyanyian Jefrydin menjadi kegilaan anak-anak muda di Singapura, Tanah Melayu dan Indonesia terutama sekali gadis-gadis belasan tahun.

Di simpang-simpang jalan, di kelab-kelab malam dan pertunjukkan pentas, anak-anak muda menyanyikan lagu hitnya seperti Kenanganku, Seruling Anak Gembala, Siti Haida, Termenung, Gadis Manja, Peristiwaku, Harapanku hampa, Ciptaan abadi, Nada Suci untukmu dan Peristiwa di awang-Awangan.

Aimi Jarr turut menceritakan, ketika populariti Jefrydin sedang berada di puncak kegemilangan Pop Yeh Yeh, pe­nyanyi itu terpaksa bersembunyi di dalam bilik mandi akibat dikejar oleh gadis-gadis yang tergila-gilakannya.