Tahun 1907 hingga Perang Dunia Kedua, sebanyak 138 akhbar dan majalah diterbitkan. Antaranya, Penyuluh (1924), Majalah Guru (1924), Malaya (1926) dan juga al-Ikhwan (1926) menjadi media sastera. Tetapi dengan kelahiran Utusan Melayu (1939), Utusan Zaman (1939) dan Mastika (1941) ruangan sastera itu semakin diperhebat. Pertama, kerana di situ berkumpulnya pengarang terkenal tanah air. Kedua, menyediakan ruangan sastera yang lebih konsisten dan bermutu.

Kejayaan Utusan ialah sifat pemberani penolakan terhadap Malayan Union, yang menjadikannya sangat berpengaruh dan signifikan. Pengarang berlumba-lumba menghantar karya sastera, dengan itu hanya karya yang terbaik disiarkan. Penulis muda perlu mengasah bakat dahulu di majalah ringan seperti Utusan Kanak-Kanak, Hiburan, Mutiara dan Kencana sebelum ke Utusan. Utusan Zaman terbit pada hari Ahad, terkenal sebagai hari sastera. Begitulah, lazimnya pengarang mendapat pendedahan sastera melalui Utusan Kanak-Kanak, kemudian membesar bersama Utusan Zaman. Hanya setelah mapan, karya terpilih untuk Mastika.

Kedudukan pengarang lebih terjamin dalam satu gerakan. Utusan menjadi media diskusi penubuhan gerakan itu dan pada Ogos 1950 tertubuhlah Asas 50. Kumpulan ini berhasil mengubah genre cerpen dan sajak menjadi serius dan lebih popular. Menariknya, bukan sahaja misinya menyembuhkan penyakit masyarakat, bahkan menebalkan kesedaran kemerdekaan.

Seni untuk seni

Masyarakat pengarang waktu itu, mula menjadi kritis dan peka terhadap mutu karya dan mulalah ruangan esei dan kritikan sastera disediakan di Utusan. Sebelum Perang, kritikan sudah mula disemai, tetapi hanya di peringkat apresiasi dan resensi. Teori formalistik dan moral mula diaplikasikan, namun ia lebih dinamik apabila terjadinya polemik ‘seni untuk masyarakat’ Asraf dan ‘seni untuk seni’ Hamzah. Pertembungan pendekatan sosiologi dan struktural warisan dekotomi antara Plato dan Aristotle itu, menjadikan ia lebih berjurang.

Semua orang tahu, pengarang besar zaman itu ialah Keris Mas, Ishak Haji Muhammad, Tongkat Warrant (Usman Awang) A. Samad Said, A Samad Ismail dan Salmi Manja.

Pascamerdeka Utusan berpindah ke Kuala Lumpur, dan tahun 1960-an adalah zaman sastera pembangunan, tentunya berlaku pengisian kemerdekaan. Muncul A.Rashid Ghah, Alias Ali, Ali Majod dan tokoh penting Shahnon Ahmad. Genre novel mendapat tempat istimewa, namun sekali lagi Shahnon Ahmad yang novelnya diterbitkan oleh penerbitan Utusan Melayu, Ranjau Sepanjang Jalan diterima sebagai teks kanon.

Kritikan

Dekad ini menyaksikan ramai penulis muncul. Istimewanya genre novel berkembang pesat dan terdapat 238 buah novel dihasilkan. Menariknya Utusan Zaman menyediakan ruangan kritikan dan esei sastera sejajar dengan kelahiran teks-teks tersebut. Yahaya Ismail mengisi ruangan saban minggu, meski aplikasi formalistik, tetapi semangatnya ialah realisme dengan kehidupan digambarkan penuh nyata dan menyungkil kebenaran. Novel berbicara tentang perekonomian, status dan stratifikasi masyarakat.

Realisme juga berkembang dalam drama. Dekad 1960-an terdapat 500 pementasan. Jasa Utusan melalui Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia menyediakan ruangan ulasan pementasan drama itu. Saban minggu ada saja ulasannya yang disiarkan. Atondra, Dharmawijaya dan Saad Taib banyak mengisi ruangan tersebut. Penulisan cerpen menjadi lebih rancak dan kompetitif apabila Utusan menganjurkan pertandingan RM100 sejajar dengan Berita Harian waktu itu. Teks pemenang disiarkan di majalah Mastika. Cerpen Mastika, selamanya berprestij dan menjadi rebutan. Begitulah Mastika tidak sahaja menyiarkan karya termasuk puisi yang bemutu, juga menjadi wahana esei dan kritikan sastera yang bergagasan.

Esei yang bersifat legislatif dan mencari arah perjalanan hayat sastera, dapat dibaca dalam Mastika dan Utusan Zaman. Pengarang didedahkan pelbagai aliran, teknik dan corak pengkaryaan. Watak-wataknya seperti Alis Murni, Hassan Ibrahim, Abu Bakar Hamid dan Kala Dewata adalah pemain protagonisnya. Dimeriahkan lagi dengan sumbangan kaum asing seperti Wong Seng Tong, Li Chuan Siu dan Liaw Yock Fang.

Dekad 1960-an bersambung ke dekad seterusnya diharumi dengan pengarang yang sedang membina kepengarangannya yang sering disebut-sebut iaitu, Hamzah Hussein, Awam-il Sarkam, Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki Fadhil, Adi Mas, Hamdam, Harun Hassan, Ilias Zaidi, Mohktar Petah, Khadijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Zahari Affandi, Atondra, Ibrahim Omar, Malungun, Baharuddin CD dan Nora.

1970-an ditandai dengan karya eksprimen dengan aliran surealisme dan absurd melalui drama Noordin Hassan, puisi Suhaimi Haji Muhammad, novel Shahnon Ahmad dan saya mencuba dalam cerpen. Istimewanya Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia menjadi wadah pencerpen dan pemuisi bereksprimen. “Imam”, “O”, “Dosina”, “Sasau” dan “Pertentangan” adalah cerpen absurd yang saya tulis tersiar di Utusan Zaman. “Pertentangan” terpilih pemenang Hadiah Sastera Malaysia.