Tidak lama selepas menge­tuai Jabatan Pengarang, timbullah peristiwa ‘Peneroka Haram’ Sungai Sireh, Kuala Selangor yang meneroka tanah secara haram yang dipimpin oleh seorang petani bernama Hamid Tuah.

Hamid Tuah dipotretkan oleh Utusan Melayu sebagai ‘hero petani’ mewakili golo­ngan marhain

SAID ZAHARI bersama Hamidah di hadapan Pejabat Utusan Melayu di Cecil Street di Singapura 195.
SAID ZAHARI bersama Hamidah di hadapan Pejabat Utusan Melayu di Cecil Street di Singapura 195. 

yang laparkan tanah tetapi dipinggirkan oleh kerajaan ketika itu. Ini kerana sudah berbelas tahun, sejak zaman penjajah sehinggalah negara merdeka, penduduk di situ masih tidak diberikan hak milik tanah tersebut.

Hamid Tuah ditangkap dalam usaha untuk menakutkan pengikut-pengikutnya. Ironinya, petani-petani di situ tidak pula merasa takut malah menuntut pemimpin mereka dibebaskan segera dan tanah-tanah yang diterokai menjadi hak milik mereka. Mereka lalu berpiket di hadapan pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Bakar Baginda.

Menurut Said Zahari dalam buku Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik (2001), beliau dan rakan-rakan di Utusan Melayu melihat peristiwa itu sebagai tangisan kaum tani yang mahu hidup seperti insan lain. Pada hemat Said Zahari, petani-petani itu amat memerlukan tanah dan wajarlah tangisan mereka itu diambil perhatian oleh kerajaan yang sudah merdeka.

“Utusan Melayu menyahut suara tangisan petani-petani Sungai Sireh itu dengan memberikan sokongan kepada mereka. Kami menyiarkan berita perjuangan mereka secara besar-besaran untuk menarik perhatian kerajaan dan pihak-pihak lain yang ber­kenaan” (Said Zahari 2001: 72).

Piket petani yang diadakan di hadapan pejabat Menteri Besar menjadi kacau bilau menyebabkan beberapa orang yang berpiket termasuk isteri dan anak-anak Hamid Tuah ditangkap. Melihat keadaan yang semakin meruncing itu, selaku Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari menulis sebuah rencana merayu Tun Razak selaku Timbalan Perdana Menteri supaya campur tangan dan menyarankan supaya beliau sendiri mendengar keluhan petani-petani tidak bertanah di Sungai Sireh.

Hasilnya, Tun Razak bersetuju menemui wakil petani-petani terlibat dan piket itu ditamatkan serta merta hasil usaha dan rayuan Utusan Melayu agar kerajaan lebih prihatin membela nasib rakyat di luar bandar.

 

Said Zahari dimarahi Tun Razak

Tidak lama selepas Peris­tiwa Sungai Sireh, tercetus pula isu baru melibatkan Utusan Me­layu apabila menyiarkan berita Abdul Aziz Ishak sebagai Menteri Pertanian mengecam sikap sesetengah pegawai kerajaan di luar bandar yang masih berjiwa kolonial ketika berurusan dengan kaum tani.

“Setelah menyiarkan be­rita ucapan menteri itu, aku terpanggil untuk menulis rencana pengarang menyeru kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai seperti itu sekiranya ia benar-benar wujud.

“Pada hari rencana pengarang itu tersiar, aku menerima panggilan telefon daripada Syed Jaafar Albar, Menteri Muda Penerangan. Tun Razak mahu jumpa saudara, kata Syed Jaafar Albar, boleh tak saudara datang sekarang?” (Said Zahari 2001: 73).

Sebaik, Said Zahari masuk ke pejabatnya, Tun Razak bangun dari kerusinya dan terus memarahi Utusan Melayu yang katanya telah menimbulkan kemarahan pegawai-pegawai kerajaan di luar bandar.

Tun Razak bertanya: “Apa maksud Utusan Melayu menulis rencana pengarang macam itu? Pagi-pagi lagi saya sudah terima panggilan telefon dari seluruh negeri yang marahkan rencana pengarang Utusan Melayu. Mereka semua adalah pegawai yang berdedikasi dan bekerja kuat untuk rakyat. Adilkah Utusan Melayu menyuruh kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka!”.

Selepas menghamburkan kemarahannya kepada Utusan Melayu, barulah Tun Razak mempersilakan Said Zahari duduk.

Said Zahari cuba mempertahankan rencana pengarang Utusan Melayu itu tetapi Tun Razak dan Syed Ja’afar Albar berkeras menyatakan Utusan Melayu bersalah dan patut meminta maaf.

“Tuduhan bahawa mereka itu masih berjiwa kolonial sama sekali tidak betul. Utusan Melayu patut merujuk kepada kami sebelum menulis rencana pengarang,” tambah Syed Jaafar Albar.

Tun Razak pula hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil merungut dalam bahasa Inggeris: “The damage has been done” (kerosakan telah dilakukan).

Sejak itulah krisis Utusan Melayu dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Tunku Abdul Rahman semakin tegang.

ESOK: Said Zahari pimpin mogok Utusan Melayu