Rancangan rahsia ini yang diberi nama Operasi Zipper memerlukan pendaratan angkatan tentera darat daripada kapal induk Angkatan Tentera Laut Diraja British. Serangan dalam Operasi Zipper ini akan dibantu dari dalam negeri oleh gerila Force 136 yang telah pun me­nguasai bahagian tengah Tanah Melayu. Kemudian tentera Berikat akan bertindak me­nyerang Singapura sebagaimana pernah dilakukan oleh tentera Jepun semasa menawan Singapura dahulu.

Pasukan gerila bawah tanah yang menjalankan kerja-kerja untuk Operasi Zipper ini adalah terdiri

MOHAMAD JAMIL (duduk ) bergambar bersama dua rakannya semasa berkhidmat dalam Force 136.
MOHAMAD JAMIL (duduk ) bergambar bersama dua rakannya semasa berkhidmat dalam Force 136. 

daripada ejen perisik pasukan Force 136 yang terlatih dalam operasi tentera.

Bagaimanapun, sebelum Operasi Zipper dilancarkan, bom atom telah pun digugurkan dan ini menyebabkan Kerajaan Jepun menyerah kalah tanpa syarat.

Pada 15 Ogos 1945, dengan rasminya pengisytiharan tentang kekalahan Jepun dibuat dan mereka menyerah kalah kepada Jeneral Douglas MacArthur.

Pada 17 Ogos 1945, pihak tertinggi Angkatan Tentera British menghubungi Force 136 di Tanah Melayu supaya menghentikan serangan terhadap Jepun.

Bertempat di bangunan Perbandaran Singapura, pada 12 September 1945, satu upacara menyerah diri oleh Jeneral Itagaki kepada Lord Louis Mountbatten diadakan.

Berita kekalahan Jepun ini membuatkan sebahagian besar penduduk Tanah Melayu menarik nafas lega setelah hidup dalam keadaan menderita dan ketakutan selama tiga tahun lapan bulan di bawah kekejaman tentera Jepun.

Pejuang-pejuang Force 136 terus mengambil alih pentadbiran sebahagian besar bandar penting yang ditinggalkan oleh Jepun.

Menurut Mohd Zamberi A. Malek dalam bukunya Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood Mahyiddeen (2009), Force 136 sebenarnya adalah nama kod yang diberi kepada pasukan perisikan di bawah arahan Special Operation Executive (SOE).

Ejen perisik ini yang bertugas menjalankan kerja-kerja perisikan seperti menubuhkan parti-parti penentang dalam kawasan musuh, mengumpulkan maklumat, menjalankan kerja-kerja sabotaj dan membantu pejuang kemerdekaan.

Di Asia Tenggara, pasukan Force 136 dipimpin oleh Collin Mackenzie. Pasukan ini diletakkan di bawah kuasa Pemerintah Tentera Bersekutu (Supreme Allied Commander) Lord Louis Mountbatten bertempat di Colombo, Sri Lanka.

Ejen perisikan ini dibahagikan kepada cawangan negara-negara yang akan dirisik seperti Grup A yang bertugas di Siam (kini Thailand), Burma (kini Myanmar) dan grup B yang digelar Force 136 yang meliputi Tanah Melayu (kini Malaysia), Singapura dan Indonesia.

Menurut Utusan Melayu, anak Melayu pertama yang direkrut oleh SOE ialah Tengku Mahmood Mah­yiddeen bagi menge­tuai bahagian Melayu yang me­nyandang jawatan Pegawai Turus iaitu pangkat ter­tinggi dalam Force 136.

Tengku Mahmood yang mengetuai bahagian pengambilan dan propaganda agensi perisik itu mendapat jolokan ‘Harimau Malaya’ ke­rana ketangkasan dan keberaniannya dalam menjalankan operasi berbahaya ketika berhadapan dengan musuh. Nama Harimau Malaya akhir­nya sinonim dengan Force 136.

“Sebagai pegawai pemerintah, Tengku Mahmood diarahkan oleh Markas Tertinggi Ang­katan Tentera British supaya melengkapkan satu pa­sukan khas sebagai ejen perisik untuk dihantar ke Tanah Me­layu.

“Leftenan Muda Ibrahim Ismail yang dinaikkan pangkat kapten dijemput oleh Tengku Mahmood mengetuai latihan khas yang ditempatkan di Avisaweela, Ceylon kira-kira 40 batu dari Colombo” (Mohd. Zamberi A. Malek 2009: 68).

Menurut Utusan Melayu, peranan Force 136 umpama lampu suluh yang nanti akan menerangkan laluan bagi kemaraan tentera British ketika operasi diadakan untuk me­nyerang Tanah Melayu.

Menurut Prosedur Operasi Standard untuk memudahkan SOE menembusi Tanah Melayu, mereka memerlukan pegawai-pegawai Force 136 yang terdiri daripada anak watan yang bekerja secara sukarela bukan dipaksa, bersikap patriotisme dan tidak takut mati kerana misi mereka adalah berbahaya.

Jika keadaan memaksa mereka mestilah sanggup menelan pil beracun daripada membocorkan rahsia misi mereka jika tertangkap oleh pihak Jepun.