Zaiton mula diperkenalkan oleh Pengarah Phani Majumdar apabila dipilih oleh pengarah itu membintangi filem Hang Tuah pada 1955.

Melalui filem Hang Tuah, bermulanya karier Zaiton sebagai bintang filem terkenal yang pernah menyinari industri filem Melayu sekitar 1950-an hingga 1960-an.

Utusan Melayu dan majalah Utusan Film dan Sport meletakkan nama Zaiton sebagai ‘seniwati terbaik’ primadonafilem Melayu yang berjaya digilap Phani Majumdar menerusi watak Tun Teja. Pe­ranan Zaiton sebagai Tun Teja yang sanggup berkorban apa saja demi Sultan Me­laka malah mengorbankan cinta sucinya terhadap Hang Tuah dengan memakan sirih jampi berjaya dilakonkan dengan berkesan.

Menerusi filem ini juga Zaiton me­raih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-3 pada 1957.

Selepas kejayaan besar Hang Tuah yang dibuat dalam filem warna, Phani Majumdar sekali lagi memberi peluang kepada Zaiton membintangi filem arahan ke­duanya, Anak­ku Sazali (1956).

Kali ini, Zaiton diberi pe­ranan lebih besar sebagai he­roin berpasangan dengan P. Ramlee yang sedang berada di puncak kemasyhuran sebagai pelakon pujaan di Studio Jalan Ampas.

Impak lakonan Zaiton dalam filem ini cukup hebat sehingga menyebabkan penonton memberikan sam­butan luar biasa apabila ditayangkan kepada umum di pawagam tempatan.

Paling menarik filem lakonan Zaiton ini berjaya membuatkan penonton terbuai-buai apabila drama muzikal ini turut menghidangkan tujuh buah lagu seperti Ke­roncong Kemasyhuran nya­nyian Saloma, Itulah Sa­yang (P. Ramlee dan Normadiah), Joget Si Pinang Muda (P. Ramlee dan Normadiah), Chelorong Cheloreng (S. Kadarisman dan beramai-ramai), Tiada Kata Secantik Bahasa (P. Ramlee) dan Istana Cinta (Saloma).

Menurut buku Filem-Filem P. Ramlee oleh Mustafa A. R dan Aziz Sattar (2008), lagu Tiada Kata Secantik Bahasa ada persamaan dengan lagu Yeh Raat Yeh Chandni Phir Kahaan dari filem Jaal arahan Guru Dutt (1952).

Sebelum datang ke Singapura mengarahkan filem Hang Tuah dan Anakku Sazali, Phani Majumdar telah mengarahkan banyak filem di India antaranya Street Singer (1938), Doctor (1940), Mohabbat (1943), Raj Kumar (1944), Devdasi (1954) dan Insaf (1946).

Oleh itu tidaklah menghairankan apabila filem Hang Tuah dan Anakku Sazali memiliki elemen percintaan, nyanyian dan lawak jenaka seperti filem-filem India.

Kejayaan filem ini me­raih dua anugerah di Festival Filem Asia Pasifik Ke-4 di Tokyo Jepun cukup membanggakan iaitu sebagai Pelakon Utama Lelaki Terbaik Bahagian Dramatik (P. Ramlee) dan Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Tony Castillo).

Filem terakhir Zaiton ialah Raja Bersiong karya Tunku Abdul Rahman yang diarahkan oleh Jamil Sulong di Studio Jalan Ampas (1966).

Selepas filem Raja Bersiong, nama Zaiton terus hilang dari dunia perfileman tanah air biar pun beliau mengakui jiwanya masih ‘kecanduan’ untuk berlakon namun apakan daya, era kegemila­ngan filem Melayu di Studio Jalan Ampas sudah berakhir apabila pihak Shaw Brothers menutupnya secara rasmi pada 1967.