Filem Ribut yang dilakonkan oleh Ahmad Mahmood, Rosnani dan Saadiah mencipta sejarah apabila pihak MFP cuba menggunakan warna ‘geavert’. Filem arahan K. M. Basker itu juga merupakan filem Melayu berwarna paling awal pada waktu itu.

Sebelum itu, filem-filem di Studio Jalan Ampas hanya dikeluarkan dalam bentuk hitam putih. Apabila filem Hang Tuah hendak difilemkan dalam warna ketika itu oleh Phani Majumdar, beliau tidak nampak orang lain yang boleh diharap­kan untuk memegang watak Hang Jebat melainkan Ahmad Mahmood.

Semasa di MFP, Ahmad Mahmood telah membintangi beberapa buah filem berpasa­ngan dengan Seniwati Saadiah seperti Istana Impian (1953), Ayer Mata (1953), Mangsa (1953), Arjuna (1953), Ribut (1955), Mogok (1957), Kembali Seorang (1957), Taufan (1958), Mas Merah (1961), Siti Musliha (1962), Jeritan Batin (1964) dan Pusaka Pontianak (1965).

Menurut Utusan Melayu, filem Hang Tuah (1956) diingati ramai bukan kerana lakonan P. Ramlee sebagai Hang Tuah tetapi kehebatan lakonan Ahmad Mahmood sebagai Hang Jebat yang meninggalkan kesan di jiwa penonton.

Sebelum filem ini dita­yangkan kepada umum, konsep keperwiraan Hang Tuah memang sudah sebati dalam masyarakat Melayu dan tidak pernah tercabar peranannya sebagai wira sejati yang taat kepada perintah sultan.

Namun begitu, apabila filem ini ditayangkan kepada umum, masyarakat Melayu mula menerima persoalan yang dibahasakan dalam filem ini seperti kata-kata P. Ramlee yang memegang watak Hang Tuah: “Siapakah yang benar, Jebatkah yang benar? Atau akukah benar!”.

Mustafa A.R dan Aziz Sattar dalam buku Filem-Filem P. Ramlee (2008) menyatakan, tanggapan generasi sekarang dan yang akan datang bahawa Hang Jebat adalah lebih wira daripada Hang Tuah adalah ber­asas sekali.

Kata-kata Hang Jebat yang dilakonkan oleh Ahmad Mah­mood dalam filem ini telah mengubah persepsi masyarakat terhadap konsep wira dalam masyarakat Me­layu yang selama ini berpusat kepada Hang Tuah.

Adegan Hang Jebat hendak menderhaka yang dilakonkan oleh Ahmad Mahmood kerana menuntut bela di atas kematian Hang Tuah diingati sebagai kata-kata azimat.

Ahmad Mahmood (berlakon sebagai Hang Jebat) ber­kata: “Saudara-saudara se­ka­lian juga tidak setuju bukan? Jika Tuah ada di sini dia juga tidak setuju. Tapi aku percaya aku benar, itu sebab aku terima keris ini (Taming Sari). Sekarang akan tegakkan kebenaran itu. Sekarang aku akan mengacau, menghuru harakan istana. Tuah tidak pernah derhaka dikatakan derhaka.

“Sekarang Jebat, Jebat yang akan menderhaka. Tuah akan ku bela, Jebat akan bermaharajalela akan mengajar raja yang tidak adil. Suatu masa nanti, kalau siapa bertanya, kenapa Jebat derhaka? Tentu orang akan menjawab, kerana rajanya yang tidak adil” (Petikan filem Hang Tuah (1956) terbitan Shaw Brothers).

Utusan Melayu dan Utusan Film dan Sport sebulat suara mengangkat lakonan Ahmad Mahmood sebagai Hang Jebat begitu cemerlang dan terpuji mengatasi lakonan P. Ramlee sebagai Hang Tuah dalam filem tersebut yang dianggap sederhana sahaja.

Majalah Bintang pula me­ngangkat Zaiton sebagai pe­nerima Anugerah Seniwati Pembantu Terbaik (1956).

“Ahmad Mahmood sememangnya sesuai memegang watak Hang Jebat yang berlakon dengan cemerlang, lakonannya lebih terpuji jika dibandingkan dengan peranan P. Ramlee sebagai Hang Tuah” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar (2008).

Filem Hang Tuah merupakan filem kedua dibuat dalam warna-warni (eastmancolour) yang menelan kos sejuta ringgit dan paling banyak menggabungkan bintang-bintang handalan di MFP iaitu P. Ramlee, Ahmad Mahmood, Yusof Latif, Nordin Ahmad, Haji Mahadi, Daeng Idris, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Saadiah, Zaiton dan Mustafa Maarof.

Filem ini pernah dita­yangkan di International Film Festival di Berlin, Jerman (1957) dan pernah memenangi anugerah Muzik Terbaik: Bahagian Dramatik (P. Ramlee) di Festival Filem Asia-Pasifik Ke-3 di Hong Kong (1956).

Sebuah lagi filem yang cukup mengesankan lakonan Ahmad Mahmood sebagai hero ialah filem Raja Bersiong (1968) berpasangan dengan Sarimah.

Menurut buku Ahmad Mahmood Bintang Di Langit Seni (2010) oleh Mohamad Saleeh Rahamad, Jamil Sulong telah diberi kepercayaan dan tanggungjawab sebagai pe­ngarah filem Raja Bersiong berdasarkan karya Tunku Abdul Rahman yang dijual kepada Shaw Brothers dengan harga S$30,000.

Filem ini sekali lagi melon­jakkan nama Ahmad Mahmood sebagai seorang bintang filem terkenal bersama Sarimah serta dibantu oleh Zaiton dan Haji Mahadi.

Ketika itu popularti Ahmad Mahmood di MFP juga sudah mengatasi P. Ramlee yang sudah berhijrah ke Merdeka Film Studio di Hulu Kelang.

“Tunku Abdul Rahman menulis cerita Raja Bersiong untuk membuktikan bahawa Melayu ialah bangsa yang bertamadun dan bukan berasal daripada keturunan lanun seperti yang pernah didakwa oleh seorang wartawan Ing­geris pada waktu itu.

“Tunku juga mengharapkan kelahiran filem ini dapat membersihkan segala tuduhan melulu daripada wartawan itu, sekali gus berjaya menjadi sebuah filem yang teragung” (Mohamad Saleeh Rahamad 2019: 38).

Kehebatan lakonan Ahmad Mahmood dan Sarimah dalam filem Raja Bersiong tidak menjamin filem ini mencipta rekod ‘pe­cah panggung’ sehingga menyebabkan kerugian besar kepada Shaw Brothers.

Lantaran tidak berani lagi menanggung risiko, Shaw Brothers mengambil keputusan muktamad untuk menu­tup Studio MFP di Jalan Ampas pada bulan Disember 1967.

Orang yang paling kecewa ialah Ahmad Mahmood apabila melihat studio itu berkubur.