Sejak dahulu lagi, orang ramai seolah-olah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Kumpulan Utusan untuk mendapatkan apa jua bantuan dan sumbangan bagi membiayai masalah yang mereka alami. Lantaran itu adakala­nya tanpa pe­rancangan atau inisiatif daripada Utusan, orang ramai secara spontan menghulurkan derma menerusi Utusan.

Utusan mula menarik perhatian pembacanya mengenai masalah penyakit jantung berlubang dalam kalangan kanak-kanak pada 1979 apabila seorang penoreh getah dari pedalaman Sungai Pusu, Melaka, Jamaluddin Ahmad datang ke pejabat Utusan Me­layu membawa anaknya bernama Suriyati yang baru berumur dua tahun.

Kanak-kanak itu disahkan menghidap jantung berlubang oleh Pakar Jantung Hospital Besar Kuala Lumpur, Dr. Nik Zainal Abidin Nik Abdul Rahman.

Jamaluddin dengan wajah sedih menyatakan beliau memerlukan sebanyak RM25,000 untuk menyelamatkan nyawa anaknya Suriyati bagi menjalani pembedahan di Pusat Jantung Manila, Filipina kerana kemudahan seumpama itu tidak ada di Malaysia.

Siasatan yang dijalankan oleh wartawan Utusan Malaysia, Raja Ahmad Niza ke rumah ibu bapa Suriyati di Sungai Pusu Melaka mengesahkan bahawa mereka benar-benar keluarga miskin yang tinggal di sebuah pondok seluas dua belas kaki persegi. Apabila kisah itu didedahkan oleh akhbar-akhbar Utusan Malaysia mulai 10 April 1979, wang derma datang mencurah-curah daripada orang ramai untuk membantu kanak-kanak malang itu.

Doa untuk Suriyati

Raja Ahmad Niza menulis dalam Utusan Malaysia 20 April 1979 halaman 12 menya­takan, sejak kisah anak penoreh getah itu di­siarkan oleh Utusan Malaysia, banyak panggilan dan doa restu dari orang ramai yang ingin membantu Suriyati.

Seorang penderma menulis: “Suriyati, kau seperti sutera pu­tih yang belum menikmati hidup ini”. Penderma dari Ipoh itu menyambung: “Pak­cik seorang buruh, orang susah, anak ramai, hanya inilah derma kecil untukmu Suriyati. Moga-moga Allah melindungi mu!”.

Menurut Raja Ahmad Niza, boleh dikatakan setiap derma disertakan dengan doa restu mengharapkan Suriyati akan terbang ke Filipina, semoga selamat pergi dan selamat kembali.

Ramai juga penderma yang datang sendiri ke pejabat Utusan Melayu menghantar derma simpati. Penderma yang pertama sekali datang ialah seorang penjual ikan dari Bukit Peta­ling, Pungut Jaafar.

Raja Ahmad Niza menulis: “Begitulah simpati orang ramai terhadap Suriyati. Apakah yang ada pada sinar mata Suriyati hingga menggugurkan air mata orang, entahlah! Tapi yang jelas, Suriyati seorang anak kecil yang belum pernah gembira sejak lahirnya.

“Suriyati tidak pernah senyum dan ketawa, tidak pernah gembira di agah ibu, tidak pernah melihat indahnya kerdipan bintang-bintang. Wajahnya sentiasa mendung, hatinya sayu sahaja dan air matanya ketepian selalu. Makan dan minum tidak begitu mustahak baginya!”.

Raja Ahmad Niza menutup laporan tentang Suriyati dengan kata-kata, ketika pulang ke rumah beliau masih terdengarkan sedunya, lalu ditatapnya gambar Suriyati sambil berdoa: Ya, Allah selamatkanlah Suriyati me­nempuh ujian paling genting ini!”.

Raja Ahmad Niza tidak sahaja menulis laporan yang meruntun hati pembaca malah turut menulis sebuah sajak dalam rencana tersebut bertajuk ‘Degup Jantungmu’ ditujukan khas kepada Suriyati yang dilawatinya di Sungai Pusu, Melaka.