DEB yang dilancarkan pada 21 Jun 1970 merupakan suatu falsafah pembangunan yang menekankan kepada ke­seimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi dengan menjadikan matlamat utama iaitu membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan menyusun semula struktur masyarakat Malaysia.

Tujuan asalnya adalah untuk memperbaiki khususnya kedudukan ekonomi yang tidak seimbang antara kaum dengan memo­denkan kehidupan desa, memesatkan dan mengimbangi pertumbuhan kegiatan ekonomi di bandar.

Matlamat akhirnya­ pula adalah untuk menghakis pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi tertentu sebelum tragedi 13 Mei 1969.

Sehubungan itu kerajaan merangka pelbagai rancangan dan strategi secara bersepadu untuk menjayakan DEB antaranya mengadakan rancangan-rancangan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat jelata di bandar dan di luar bandar.

Tun Abdul Razak me­nyatakan struktur awal rancangan DEB jelas bagi memperbaiki ketidakseimbangan antara kaum.

“Kerajaan sedar bahawa perpaduan negara tidak akan wujud sekiranya kedudukan ekonomi yang tidak seimbang dalam kalangan rakyat pelbagai kaum tidak diatasi dan kemajuan serta kemakmuran negara tidak dinikmati dengan lebih adil dan saksama. Sehubungan itu perlulah bagi kerajaan menjalankan rancangan-rancangan yang telah disusun supaya matlamat merapatkan jurang perbezaan di antara golongan yang berada dan tidak berada dapat dicapai dengan seberapa segera.

“Tetapi saya suka menegaskan di sini bahawa dalam me­laksanakan dasar ini kita akan bersifat adil kepada semua pihak. Kita tidak sesekali hendak mengambil atau me­rampas hak-hak yang ada pada orang bukan Melayu.

“Sebaliknya, kita harap dan percaya yang mereka itu akan memberi kerjasama untuk menjalankan dasar-dasar bagi mewujudkan perpaduan penduduk daripada pelbagai kaum dan menjamin keselamatan dan keutuhan negara kita” (petikan Amanat Tun Razak 1970-1975).

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil dalam buku UMNO Dalam Politik dan Perniagaan Me­layu (2018) membuat rumusan bahawa implikasi Peristiwa 13 Mei 1969 sebenarnya telah menyampaikan dua petanda penting terhadap politik negara yang memerlukan tindakan segera.

“Pertama, jika kedudukan sosioekonomi Melayu terus diabaikan maka negara akan hancur. Kedua, jika perpa­duan kaum tidak dibentuk dan diatur dengan pola yang betul, masalah ketidakseimbangan ini akan sukar diatasi” (Jamaie Hamil 2015: 63).

Menurutnya, kebijaksanaan Tun Abdul Razak menangani masalah ekonomi dan perpa­duan menerusi DEB sekaligus menjadi serampang dua mata iaitu menghapuskan jurang kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat Malaysia yang selama ini mengikut pengenalan ekonomi yang diwakili sesuatu kaum.

“Walaupun DEB muncul dengan imej ekonomi tetapi hakikatnya ia adalah strategi politik yang digunakan UMNO untuk memperbaiki kemunduran orang Melayu dan jalan penyelesaian masalah kepincangan antara kaum.

“Kewujudan DEB telah dimanipulasi UMNO sebagai kepimpinan politik negara untuk mengatasi kekalutan sosioekonomi dan politik, khususnya bagi kepentingan orang Melayu.

“DEB adalah dasar bagi percubaan pendekatan ekonomi politik yang paling penting. Rusuhan kaum yang berlaku pada 1969 memberi gambaran betapa bahayanya dalam masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum, sikap prejudis yang timbul akibat perbezaan ekonomi” (Jamaie Haji Hamil 2015: 65).

Menurut Just Faaland, Jack Parkinson dan Rais Saniman dalam buku Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu (2005), tragedi 13 Mei antara lain menunjukkan bahawa strategi ekonomi masa lampau ternyata gagal meningkatkan status ekonomi dan sosial orang Melayu ke suatu tahap yang menghampiri orang bukan Melayu.

Langkah-langkah yang diambil beberapa tahun sejak merdeka untuk memperbaiki status ekonomi Melayu jelas kelihatan terlalu lemah dan tidak cukup menyeluruh untuk meninggalkan kesan kepada masalah itu.

“Pada Mei 1969, jelaslah bahawa sesuatu yang baharu mesti dilakukan untuk membantu orang Melayu menyertai kemajuan ekonomi supaya selaras dengan penduduk yang lain. Jika tidak, arusnya amat jelas dapat dilihat oleh semua orang, dalam beberapa generasi akan datang, orang Melayu akhirnya akan kalah baik dari segi politik mahupun ekonomi” (Just Faaland, Jack Parkinson dan Rais Saniman 2005: 24).

Kerajaan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak selaku Pengerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), amat me­nyedari bahawa pencapaian perpaduan negara dan integrasi ekonomi ras memerlukan penyelesaian segera menerusi pelaksanaan DEB yang ter­nyata memberi impak terhadap kemajuan dan pembangunan mapan negara.

Tujuan asalnya adalah untuk memperbaiki khususnya kedudukan ekonomi yang tidak seimbang di antara kaum...

Sumber : Pusat Maklumat Utusan