Berdasarkan Undang-Undang Darurat 1948, pihak kerajaan diberi kuasa penuh untuk bertindak mengharam­kan parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan berhaluan kiri untuk menghalang mereka daripada terlibat dalam ke­giatan komunis.

Malah, pihak kerajaan juga berkuasa menangkap tanpa bicara sesiapa jua yang dianggap mengganggu atau menggugat keamanan dan keselamatan negara termasuk akan dikenakan perintah ‘dibuang’ daerah atau buang ke negeri lain.

Kerajaan juga mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada sesiapa sahaja yang bersubahat de­ngan komunis seperti membawa senjata secara haram, menakutkan orang ramai dan membantu pihak komunis iaitu membekalkan makanan, ubat-ubat, senjata dan maklumat.

Berikutan undang-undang Darurat itu, Parti Komunis Malaya (PKM) diharamkan pada bulan Julai 1948. Hasil pelaksanaan undang-undang Darurat 1948 seramai 6,000 ditahan pada 1949. Pada tahun 1950, kira-kira 7,000 orang yang dianggap berbahaya dihantar pulang ke negara asal di China.

Pada peringkat awal darurat telah menonjolkan kelemahan Sir Edward Gent dalam menangani krisis pemberontakan PKM dan akibatnya beliau te­lah dipanggil balik untuk memberi keterangan kepadan pihak pentadbir Tanah Jajahan di London.

Terkorban

Malangnya, dalam perjalanan pulang ke London, pesawat yang dinaiki Gent terhempas dan beliau terbunuh serta merta. Tempat Gent digantikan oleh Sir Henry Gurney, bekas Pesuruhjaya Polis British di Palestin.

Bagi membanteras kegiatan komunis, Henry Gurney memper­kenalkan penggunaan kad pengenalan bagi semua penduduk berusia 12 tahun bagi menga­singkan penduduk Cina dengan pengganas komunis.

Rancangan Brigg turut dilancarkan untuk memindahkan kaum Cina ke penempatan kampung-kampung baru bagi mengelak diperalatkan pengganas komunis.

Serang hendap

Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka (1982) me­nyatakan pihak komunis terus bermaharajalela menyerang ladang, membakar bas, lori dan lain-lain hampir setiap hari. Kemuncaknya, kemegahan bagi PKM ialah pembunuhan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di Bukit Fraser pada tahun 1951.

Pada hari kejadian, Henry Gurney bertolak dari Kuala Lumpur pukul 10.45 pagi menaiki kereta Rolls Royce.

Sebaik sahaja tiba di selekoh antara Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser kira-kira pukul 1 tengah hari, konvoi Gurney termasuk kenderaan perisai dan van yang dinaiki sembilan anggota polis diserang hendap pengganas komunis.

Tatkala, Rolls Royce yang dinaiki Gurney dihujani peluru dan beliau cuba keluar untuk mencari tempat perlindungan lebih selamat.

Namun, belum sempat me­larikan diri, Gurney ditembak di kepala dan badan menyebabkan beliau mati di tempat kejadian. Isteri dan setiausaha beliau yang berada dalam kereta tersebut terselamat.

Akhbar Utusan Melayu dan Straits Times membuat liputan meluas dan menyiarkan kes pembunuhan Sir Henry Gurney di muka hadapan.

Kerajaan tidak ada jalan lain kecuali menghancurkan ancaman komunis selain melancarkan serangan habis-habisan.

Sepanjang tempoh 12 tahun darurat (1948-1960), British dan Kerajaan Malaya terpaksa ber­belanja 600 juta pounds sejak tahun 1948, 1,851 anggota pa­sukan keselamatan terkorban, 2526 cedera manakala seramai 2,451 orang awam terbunuh, 1,383 cedera dan 807 orang hilang tanpa dapat dikesan.

Pihak kerajaan mencapai kejayaan besar dengan membunuh 6,398 orang komunis, 2,760 cedera, menawan 1,245 orang dan 1,938 orang lagi menyerah diri sepanjang darurat diisytiharkan.

Kekalahan demi kekalahan yang dialami komunis itu membolehkan kerajaan menamatkan darurat pada 31 Julai 1960.