Laporan itu memetik, ketika mengisytiharkan tarikh itu, Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya, tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Fe­deral Legislative Council) telah me­nerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran baharu di Malaysia.

Dokumen itu dikenali sebagai Laporan Razak yang menjadi Dasar Pelajar­an Kebangsaan maka tarikh keramat ini besar maknanya kepada institusi pendidik­an dan perguruan negara.

KERATAN akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mac 1972 bertajuk Perayaan Hari Guru seluruh Negara 16 M
KERATAN akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Mac 1972 bertajuk Perayaan Hari Guru seluruh Negara 16 Mei. Kementerian Pelajaran mengumumkan 16 Mei 1972 sebagai tarikh Sambutan Hari Guru di seluruh negara.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataan itu mengingatkan supaya penganjuran sambutan Hari Guru tidak melibatkan urusan pentadbiran sekolah.

Terdapat enam matlamat penganjuran sambutan Hari Guru diadakan ialah: Menegaskan peranan guru dalam usaha pembinaan kebangsaan, pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat; Menarik perhatian ibu bapa, murid-murid dan orang ramai kepada peranan penting guru dalam masyarakat Malaysia; Mewujudkan perasaan perpaduan dan muhibah antara guru-guru.

Selain itu, Meningkatkan taraf guru dalam masyarakat; Memberi satu saluran untuk memajukan kecekapan mereka melalui seminar, persidangan dan akhir sekali, Mengkaji dengan objektifnya peranan guru-guru dalam negara Malaysia dan mengambil langkah-langkah untuk membaiki peranan itu.

Utusan Malaysia turut memuatkan berita utama di muka satu “Jangan Kecam Guru-Guru” bertarikh 16 Mei 1972 me­laporkan, Menteri Pelajaran ketika itu, Tun Hussein Onn dalam ucapannya melalui TV dan Radio sempena Hari Guru, mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa bertimbang rasa terhadap guru-guru yang bersusah payah ‘berikhtiar’ memajukan anak bangsa dan bukan mengecam mereka semata-mata.

Katanya, tugas guru bukan saja berat tetapi guru terpaksa berada dalam kawalan masyarakat yang mempunyai sekatan.

“Saya juga berharap semua pelajar sentiasa mengenang budi dan jasa guru yang sentiasa memberi pelajaran kepada mereka. Pelajar hendaklah sentiasa berusaha untuk membina masyarakat yang teguh dan maju dengan bekerjasama dengan guru-guru mereka setiap masa,”(Utusan Malaysia 16 Mei 1972).

Tokoh Guru, Tan Sri Datuk Dr. Awang Had Salleh dalam buku tulisannya “Warna-warna pengalaman seorang guru” terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. pada 1993 menyatakan, aspirasi paling tinggi yang ada pada dirinya untuk menjadi seorang guru, tidak ada jawatan lebih tinggi daripada itu yang diimpikan oleh mereka bercita-cita untuk menjadi guru pada era 1950-an.

Jawatan lain yang dipegang Melayu pada era itu ialah kerani, rekrut polis dan tentera. Selain daripada itu ialah posmen, kakitangan rendah dalam Jabatan Pertanian, Perhutanan, Bomba atau menjadi buruh kasar bekerja sendiri menjadi petani atau nelayan

Dalam masyarakat Melayu pada waktu itu, menurut Dr. Awang Had, mereka yang berjawatan guru mendapat tempat yang tinggi dalam masyarakat.

Biasanya guru-guru berpakaian kemas berseluar panjang warna putih, berkemeja lengan pendek berwarna putih, berkasut putih dan ada bersongkok dan ada yang tidak.

“Basikal yang guru guna pada ketika itu kebanyakannya jenis Raleigh yang dijaga bersih. Rambut mereka bergunting rapi. Keluar dari sekolah mereka kelihatan pulang ke rumah membimbit buku ringkasan mengajar dengan kemas.

“Jika ke pekan kecil atau ke kampung, perawakan seorang guru jelas berbeza daripada perwatakan orang lain,”katanya.

Dr. Awang Had berkata, guru disegani dan dihormati di majlis kenduri, guru diletakkan di kepala hidang. Dalam kehidupan sehari guru dirujuk bagi mendapatkan nasihat dan pandangan. Di majlis-majlis keagamaan pula, guru mendapat penghormatan yang tinggi. Itulah kehebatan seorang guru atas pengorbanan mendidik anak bangsa.

“Usaha guru memberi kesan positif apabila pelajar tahu untuk menghargai dan berterima kasih kepada guru kerana tanpa guru mereka tidak akan dapat membaca dan mengira,”jelasnya.